Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis telah menyita sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini Revuelto yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta dalam satu operasi rondaan harian di KM 1 Jalan Kuala Perlis-Changlun, baru-baru ini.
Kenderaan tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan, petik kenyataan rasmi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah dilaksanakan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.
“Berdasarkan rekod dari Januari hingga kini, sebanyak enam buah kenderaan mewah telah disita,” kata JPJ Negeri Perlis.
Menurutnya lagi, tindakan sebahagian pemilik kenderaan mewah yang gagal membayar Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah menyebabkan berlakunya ketirisan hasil yang banyak kepada kerajaan memandangkan nilai Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi sesebuah kenderaan mewah sedemikian adalah tinggi.
“JPJ Negeri Perlis ingin mengingatkan bahawa kegagalan
memperbaharui cukai jalan dan insurans merupakan satu kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Sehubungan itu, semua pemilik kenderaan, termasuk pemilik kenderaan mewah, diingatkan agar sentiasa memastikan dokumen kenderaan diperbaharui dan dikemas kini sebelum tamat tempoh.
Pada masa sama JPJ Negeri Perlis mengingatkan orang ramai juga agar tidak menunggu sehingga tindakan penguatkuasaan diambil, sebaliknya hendaklah sentiasa mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan.