Di sebalik tragedi menyayat hati yang meranapkan hampir 1,000 buah kediaman di Kampung Bahagia, sebuah rumah ibadat teguh berdiri menjadi satu-satunya saksi dan sinar harapan buat penduduk yang sedang berduka.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, Masjid Darus Salam yang terletak berhampiran perkampungan atas air itu kekal utuh tanpa sebarang kerosakan, biarpun rakus dikepung lautan api dari segenap arah.
Tinjauan udara memberikan perspektif yang cukup menginsafkan. Hanya kira-kira satu meter dari dinding masjid, tanah dipenuhi dengan sisa kayu dan zink yang rentung sepenuhnya.
Runtuhan demi runtuhan mengelilingi kawasan tersebut, namun struktur masjid itu tetap terpelihara dengan sempurna. Di tengah-tengah skala kemusnahan yang luar biasa ini, ia dilihat oleh penduduk sebagai satu keajaiban yang membawa ketenangan.
Ketua Kampung Bahagia yang juga Pengerusi Masjid, Sharif Hassim Sharif Titing, berkongsi rasa takjub tersebut.
Menurut beliau, keajaiban ini disaksikan sendiri oleh mata penduduk kampung—satu momen luar jangkaan yang bukan sahaja menyentuh jiwa, malah memberi suntikan kekuatan spiritual buat mereka dalam mengharungi ujian berat ini.
“Saya sendiri nampak api mengelilingi masjid, rumah di sekeliling semua terbakar, tetapi masjid ini tidak terjejas langsung.
“Api seolah-olah ‘menolak keluar’ apabila menghampiri masjid. Kami semua yang berada di situ memang hairan, namun bersyukur kerana rumah ibadah ini masih berdiri teguh,” katanya ketika ditemui Bernama.
Sejak dibina pada 1984 seiring penubuhan Kampung Bahagia di era pentadbiran bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Harris Salleh, Masjid Darus Salam telah menjadi nadi utama penduduk setempat.
Bangunan seluas 7,520 kaki persegi yang mampu memuatkan lebih 300 jemaah ini bukan sahaja meriah dengan majlis ilmu selama empat dekad, malah kini terus berbakti sebagai pusat pengumpulan bantuan.
Di saat ribuan penghuni perkampungan atas air itu sehelai sepinggang akibat tragedi Ahad lalu, masjid ini kekal menjadi tempat mereka bergantung harap di saat duka.
Mengimbau detik hitam tersebut, Sharif Hassim berkongsi satu momen meremangkan bulu roma apabila laungan azan bergema dari masjid berkenaan selama kira-kira 15 minit, mengiringi api yang sedang rakus mengganas.
Keajaiban itu turut disaksikan oleh Dimar Hussein, 46, seorang penjual ikan yang telah menjadikan kampung tersebut sebagai kampung halamannya sejak 40 tahun lalu.
“Dengan mata saya sendiri, saya nampak api mengelilingi kawasan ini. Rumah di belakang habis terbakar, tetapi masjid ini kekal berdiri. Memang pelik, tetapi kami anggap ini sebagai kebesaran Tuhan,” luah Dimar. Biarpun hampir keseluruhan kampung kini bertukar menjadi abu, keteguhan rumah ibadat ini nyata terus meniupkan semangat dan kekuatan jiwa buat mangsa yang terjejas.