Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang giat bekerjasama dengan pelbagai kerajaan dan agensi rakan kongsi untuk menguruskan krisis kesihatan yang melibatkan penularan virus ‘hantavirus’ di atas sebuah kapal.
Menerusi perkongsian Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, walaupun insiden ini merupakan suatu keadaan yang serius, pihak WHO menilai tahap risiko kesihatan awam secara amnya sebagai rendah.
Setakat ini sebanyak lapan kes telah dilaporkan yang turut melibatkan tiga kematian.
Daripada lapan kes tersebut, lima individu telah disahkan positif jangkitan virus ‘hantavirus’, manakala tiga lagi masih diklasifikasikan sebagai kes disyaki.
Kejadian ini juga jelas menunjukkan kepentingan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) dan bagaimana ia berfungsi bagi menangani krisis kesihatan merentas sempadan.
So far, eight cases of #hantavirus have been reported, including three deaths.
While this is a serious incident, @WHO assesses the public health risk as low.
WHO will continue to work with all relevant governments and partners to provide care for those who are affected, protect… pic.twitter.com/NEBHXrqurT
— Tedros Adhanom Ghebreyesus (@DrTedros) May 7, 2026
Kerajaan Sepanyol bantu WHO
Atas dasar perpaduan dan tanggungjawab moral, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, telah bersetuju menerima permintaan WHO untuk membenarkan kapal tersebut berlabuh di negara itu.
Kapal berkenaan kini sedang belayar menuju ke destinasi di Kepulauan Canary.
Pihak WHO menzahirkan keyakinan terhadap kapasiti pihak berkuasa Sepanyol untuk menguruskan risiko ini dan sedang memberi sokongan yang sewajarnya kepada mereka.
Berdasarkan penilaian, risiko jangkitan terhadap penduduk setempat di Kepulauan Canary juga adalah rendah.
WHO sediakan garis panduan
Sebagai sebahagian daripada tindak balas kawalan, WHO telah menyediakan garis panduan mengenai pengurusan kesihatan kepada pengendali kapal.
Satu pasukan pakar perubatan telah ditugaskan di atas kapal tersebut, bermula dengan seorang pakar yang menaiki kapal di Cabo Verde, yang kemudiannya disertai oleh dua orang doktor dari Belanda serta seorang pakar dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).
Pasukan ini akan kekal berada di atas kapal sehingga ia tiba di Kepulauan Canary untuk menjalankan penilaian perubatan terhadap setiap individu dan mengumpul data bagi menilai risiko jangkitan.
Bagi proses seterusnya, WHO kini sedang merangka garis panduan operasi langkah demi langkah bagi memastikan urusan penurunan penumpang dan anak kapal di pelabuhan nanti dapat dilaksanakan dengan selamat sambil menjaga maruah mereka.
Di samping itu, urusan logistik telah dibuat bagi menghantar sebanyak 2,500 kit diagnostik dari Argentina kepada makmal-makmal di lima buah negara untuk menyokong usaha saringan.
Tumpuan utama pihak WHO bersama rakan-rakan kerjasama pada ketika ini kekal jelas, iaitu untuk memastikan pesakit yang terlibat menerima rawatan yang sepatutnya, melindungi keselamatan serta maruah penumpang-penumpang lain di atas kapal, dan mencegah virus tersebut daripada terus merebak ke komuniti luar.