Akash Pushkarna, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang berasal dari Jalandhar, Punjab, baru-baru ini terpaksa mengharungi pengalaman pahit apabila terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama hampir dua minggu.

Beliau berada dalam dilema birokrasi antarabangsa, tidak diterima oleh negara asalnya mahupun negara tempat beliau bermastautin.

Niat Pulang yang Berakhir Tragedi

Macam Filem 'The Terminal': Lelaki India Terkandas 2 Minggu Di KLIA Terpaksa Tidur Di Lantai
Sumber Gambar: Australia Today

Kisah Akash bermula apabila beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan New Zealand dan pulang ke India secara kekal.

Kehidupan di New Zealand difahamkan menjadi semakin sukar buatnya, lebih-lebih lagi apabila dokumen pemastautinnya tidak diproses.

“Bapa saya juga tidak sihat, jadi saya mengambil keputusan untuk pulang,” jelas Akash dalam sebuah video yang tular. “Saya mahu pulang selamanya. Dokumen saya belum siap dan semuanya tidak menjadi.”.

Pada 23 April lalu, beliau menaiki penerbangan dari Auckland menuju ke Delhi. Malangnya, setibanya di sana, pihak berkuasa imigresen India menafikan kemasukannya. Akash tidak dapat mengemukakan pasport India yang sah, yang didakwanya telah tamat tempoh atau hilang.

Sebagai ganti, beliau menggunakan ‘Sijil Pengenalan’ (Certificate of Identity) yang dikeluarkan oleh kerajaan New Zealand, iaitu dokumen sah yang biasanya diberikan kepada individu tanpa kerakyatan, pelarian, atau pencari suaka.

Namun, wakil keselamatan India menegaskan, tiada sesiapa pun yang dibenarkan masuk ke India tanpa dokumen perjalanan yang betul.

Ditolak India, Dihalang New Zealand

Akibat penolakan tersebut, Akash telah ditahan selama dua hari di lapangan terbang Delhi untuk pengesahan identiti sebelum pihak berkuasa memaksanya menaiki penerbangan Malaysia Airlines kembali ke Auckland.

“Pasport [India] saya telah tamat tempoh kerana dokumen saya belum siap. Saya beritahu mereka saya tidak mempunyai visa New Zealand, tetapi mereka secara paksa memasukkan saya ke dalam penerbangan ke Malaysia,” rintih Akash yang dilaporkan oleh media awaaz dan The Print.

Setibanya beliau di KLIA sebagai penumpang transit, nasibnya menjadi bertambah buruk apabila dia tidak dibenarkan menaiki penerbangan seterusnya ke New Zealand.

Ini berpunca daripada ketiadaan visa yang sah untuk memasuki semula negara tersebut. Oleh kerana dia tidak mempunyai pasport bagi kedua-dua negara, beliau tidak boleh ke mana-mana.

Richard Owen, Pengurus Besar Risiko Imigresen dan Sempadan New Zealand, mengesahkan situasi statusnya:

“Dia memegang visa sementara yang sah apabila dia mengambil keputusan untuk meninggalkan New Zealand atas kemahuannya sendiri. Visa individu tersebut tamat tempoh apabila dia meninggalkan New Zealand kerana ia tidak mempunyai syarat perjalanan dan dia tidak mempunyai hak untuk kembali ke sini.”.

Rayuan dari Lantai Lapangan Terbang

Keadaan ini memaksa Akash menjadi ‘gelandangan’ di dalam bangunan terminal KLIA. Penderitaannya dikongsikan menerusi beberapa rakaman video yang meruntun jiwa ramai.

“Saya tidur di lantai lapangan terbang,” luahnya. Beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan, mendakwa terpaksa bertahan berhari-hari tanpa makanan yang cukup, wang, mahupun pakaian ganti serta bagasi.

Dalam keadaan buntu, beliau merayu pertolongan. “Saya cuba bercakap dengan Suruhanjaya Tinggi di sini di Malaysia, tetapi mereka memberitahu saya supaya pergi ke New Zealand dan mendapatkan dokumen tersebut. Saya tidak tahu apa yang patut dilakukan. Tolonglah saya,” katanya lagi di dalam video tersebut.

Sinar Harapan Menuju Jalan Pulang

Setelah videonya tular dan meraih perhatian umum, penderitaan Akash akhirnya mendapat penyelesaian. Pihak Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur (HCIKL) dilaporkan telah bertindak segera untuk mengatasi masalah dokumentasinya serta mengatur perjalanannya agar dapat bersatu semula dengan keluarganya.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 10 Mei, jabatan tersebut mengesahkan mereka telah berhubung dengan Akash.

“Selepas formaliti yang perlu di Malaysia dan New Zealand, beliau telah dikeluarkan dokumen perjalanan yang sesuai untuk memudahkan kepulangannya ke India,” lapor kenyataan tersebut.

Berkat bantuan tersebut, episod hitam yang melanda Akash Pushkarna kini tamat, dan beliau akhirnya dalam perjalanan pulang ke tanah air.