Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei setiap tahun merupakan detik penghargaan global terhadap dedikasi dan pengorbanan luar biasa para petugas kejururawatan.
Mereka bukan sekadar tulang belakang sistem kesihatan, malah merupakan wira tidak didendang.
Pagi tadi, Datuk M. Amar Shah, Pengarah Urusan The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) telah ‘meluluskan’ cadangan daripada seorang warganet yang memberikan idea promosi ‘Hari Jururawat’ pada hari ini.
“@amarshah_cbtl, saya nak bagi idea, buatlah diskaun dekat The Coffee Bean & Tea Leaf untuk ‘Hari Jururawat’ kepada semua jururawat Malaysia. Nanti mesti semua jururawat selfie di The Coffee bean & Tea leaf,” kongsi Threads @aizatazis.
Cadangan itu disambut baik oleh Amar Shah dah beliau ‘meluluskan’ promosi tersebut.
View on Threads
Menerusi jawapan balas yang dikongsikan beliau pada jam 5 pagi tadi, semua jururawat di Malaysia boleh tuntut promosi 20 peratus diskaun untuk semua makanan dan minuman untuk hari istimewa ini.
“Saya dah lihat semua permintaan anda! Jadi, pada saat-saat akhir ini, kami ingin memberikan diskaun 20% untuk semua makanan dan minuman pada 12 Mei khas buat semua jururawat.
“Hanya tunjukkan pas jururawat atau kad ID anda di mana-mana cawangan CBTL.
“Kepada semua jururawat. Maaf sangat atas makluman singkat ini dan terima kasih yang tidak terhingga atas segala pengorbanan serta tugas luar biasa yang anda lakukan setiap hari!” kongsi Amar Shah.
Menurut beliau lagi, kedua-dua jururawat manusia dan jururawat veterina, serta pelajar jururawat yang sedang menjalani latihan klinikal juga layak menuntut promosi ini.
Promosi hari ini juga layak untuk dine-in dan takeaway.
Hantaran itu meraih pujian daripada warganet. Ramai mengucapkan terima kasih kepada Amar Shah kerana menghargai tenaga kerja jururawat di seluruh negara.
Pada masa sama warganet turut berharap agar CBTL juga akan memanjangkan promosi untuk ‘Hari Guru’ yang bakal disambut pada 16 Mei, Sabtu ini.