Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman telah berjaya melumpuhkan sebuah sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang berskala besar menerusi operasi khas yang dinamakan ‘Op Teguh 2.0’.
Memetik Harian Metro, operasi yang diketuai oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ini telah dilaksanakan pada 6 dan 7 Mei melalui 46 serbuan di beberapa lokasi, termasuk kondominium mewah di sekitar Lembah Klang.
Menerusi operasi rentas sempadan ini, pihak berkuasa telah menahan seramai 187 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tersebut.
Tangkapan ini merangkumi 151 orang lelaki dan 36 orang wanita yang terdiri daripada pelbagai warganegara.
Pecahan tangkapan melibatkan warga China (129 individu), Malaysia (23 individu), Jepun (9 individu), Vietnam (8 individu), Indonesia (7 individu), Laos (4 individu), Thailand (3 individu), serta Filipina dan Myanmar (masing-masing 2 individu).
Selain tangkapan, PDRM turut mencatatkan kejayaan besar dengan merampas pelbagai aset dan harta yang bernilai keseluruhan RM57.68 juta.
Antara aset utama yang disita termasuklah:
1. Tiga unit hartanah mewah bernilai RM38 juta.
2. 20 buah kenderaan mewah, termasuk model Rolls Royce Cullinan dan Mercedes Benz G Wagon yang dianggarkan bernilai RM6.58 juta.
3. 67 unit barangan berharga seperti jam tangan, barang kemas, dompet, dan jongkong emas dengan nilai RM12 juta.
4. 556 unit peranti digital bernilai RM552,000, di samping wang tunai, mata wang asing, aset mata wang kripto, serta kad perbankan bernilai RM549,786.
Memetik laporan itu lagi, sindiket ini didapati menjalankan modus operandi dengan menyasarkan mangsa dari negara luar seperti Hong Kong, China, Korea, dan Jepun.
Taktik penipuan mereka merangkumi skim pelaburan palsu (menyasarkan warga Hong Kong dan China), penipuan telefon atau ‘Phone Scam’ di mana suspek menyamar sebagai pegawai polis Jepun melalui aplikasi BRIA Mobile, Telegram, dan Line, serta penipuan cinta (‘Love Scam’) terhadap warga Korea dan Jepun.
Mereka juga didapati terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian untuk memperdaya mangsa dan melaksanakan transaksi kewangan secara haram.
Kesemua suspek kini sedang disiasat melalui 24 kertas siasatan di bawah beberapa peruntukan undang-undang, iaitu Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997, serta Seksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLATFPUA) 2001.
Siasatan susulan masih giat diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama, rangkaian kewangan, dan hubungan jenayah rentas sempadan sindiket berkenaan.