Melancong ke luar negara pastinya menjanjikan pengalaman yang indah. Namun, siapa sangka percutian yang sepatutnya menyeronokkan boleh bertukar menjadi mimpi ngeri hanya disebabkan sekeping resit?

Baru-baru ini, tular sebuah perkongsian daripada seorang warga Malaysia yang berdepan detik cemas apabila rombongannya dituduh tidak membayar bil makanan di sebuah restoran terkemuka di Jakarta, Indonesia.

Singgah Makan Sebelum Ke Bandung

Kisah ini bermula pada 13 Mei lalu apabila sekumpulan enam rakyat Malaysia tiba di Jakarta menerusi penerbangan awal pagi. Dalam keadaan penat, mereka memutuskan untuk singgah makan di restoran Pagi Sore, sebuah lokasi yang cukup popular dan sering menjadi tumpuan pelancong Malaysia.

Mereka memesan sekitar sembilan jenis lauk dengan jumlah bil keseluruhan mencecah Rp907,500. Selepas membuat bayaran, kumpulan ini meneruskan perjalanan menaiki kereta api laju Whoosh menuju ke Bandung seperti yang dirancang.

Tiba-Tiba ‘Viral’ Selepas 3 Hari

'Nasib Baik Ada Resit...' - Pengalaman Ngeri Warga Malaysia Dituduh Lari Bil Di Restoran Popular Jakarta
Sumber Gambar: Threads @ainmyunus

Segalanya berjalan lancar sehinggalah mereka kembali semula ke Jakarta pada 16 Mei. Ketika mahu mendaftar keluar dari hotel, pemandu pelancong mereka membawa satu khabar yang amat mengejutkan.

Pihak pengurusan restoran terbabit didakwa telah menularkan wajah mereka di media sosial dengan menuduh kumpulan pelancong ini beredar tanpa membayar bil.

Lebih menghairankan, isu ini hanya dibangkitkan tiga hari selepas mereka menikmati hidangan di restoran tersebut. Kumpulan ini nyata terkejut dan tidak berpuas hati dengan tuduhan melulu itu.

Walaupun mereka mengakui ada bergurau sesama sendiri di meja makan tentang mahu ‘lari’ untuk mengenakan seorang rakan supaya membayar bil, mereka hakikatnya telah pun melunaskan bayaran tersebut.

Resit Makanan Menyelamatkan Keadaan

Keadaan menjadi panik seketika apabila masing-masing mula mencari resit pembayaran kerana tidak pasti siapa yang memegangnya.

Sebagai tindakan pantas, mereka mengambil tangkap layar (screenshot) bukti transaksi pemotongan kad bank dan menyerahkannya kepada ejen pelancongan mereka sebagai bukti awal.

Selepas menyelongkar beg, barulah resit fizikal tersebut berjaya ditemui!

'Nasib Baik Ada Resit...' - Pengalaman Ngeri Warga Malaysia Dituduh Lari Bil Di Restoran Popular Jakarta
Sumber Gambar: Threads @ainmyunus

“Bayangkan kalau kami bayar secara tunai dan resit pula hilang, memang tiada bukti langsung,” luah individu tersebut, mengenangkan nasib mereka jika tidak menyimpan bukti pembayaran.

Bantuan Ejen Pelancongan & Tuntutan Mohon Maaf

Mujurlah ejen pelancongan mereka, Mas Bima dari Purnama Trans Wisata Bandung, bertindak pantas membantu membersihkan nama mereka daripada terus ditularkan.

Setelah segala bukti yang kukuh dikemukakan, barulah pihak pengurusan restoran terbabit mengaku wujudnya masalah salah komunikasi (miscommunication) di pihak mereka.

Bagi membersihkan nama baik pelancong Malaysia dan agensi pelancongan, serta mengelakkan sebarang isu berbangkit di pihak imigresen ketika mahu pulang ke tanah air, ejen pelancongan mereka menuntut permohonan maaf rasmi.

'Nasib Baik Ada Resit...' - Pengalaman Ngeri Warga Malaysia Dituduh Lari Bil Di Restoran Popular Jakarta
Sumber Gambar: Threads @ainmyunus

Pihak restoran akhirnya tampil membuat video serta mesej bertulis permohonan maaf  dan kes tersebut dianggap selesai.

Pengajaran Buat Semua Pelancong

Walaupun masih tertanya-tanya mengapa mereka yang menjadi sasaran tuduhan tersebut, mangsa memilih untuk membiarkan kes itu berlalu.

Tujuan perkongsian ini dibuat bukanlah untuk memburukkan mana-mana pihak atau menjatuhkan reputasi restoran berkenaan, tetapi sebagai satu peringatan tegas kepada semua.

Kesimpulannya, jadikan amalan untuk sentiasa menyimpan resit pembelian apabila melancong ke luar negara. Jika anda membayar menggunakan wang tunai, pastikan anda mempunyai apa-apa bukti sokongan.

Malang tidak berbau, dan kadangkala, sekeping kertas kecil itulah yang akan menyelamatkan anda daripada dimalukan di negara orang!