Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyuarakan rasa kecewa dan teguran keras terhadap kelewatan proses pelesenan perniagaan di negaranya.

Teguran tersebut disampaikan secara terbuka di hadapan para menteri dan ahli dewan ketika Sidang Pleno (Rapat Paripurna) DPR RI di Jakarta pada 20 Mei 2026.

Beliau secara terang-terangan membandingkan kecekapan birokrasi Indonesia dengan negara jiran, Malaysia, yang disifatkannya jauh lebih pantas dan efisien.

Memetik laporan tempatan, dalam ucapannya yang menyentuh soal penyampaian Kerangka Ekonomi Makro (KEM) dan Pokok-Pokok Kebijakan Fiskal (PPKF) bagi belanjawan tahun 2027, Prabowo menegaskan bahawa kerajaan mesti memperbaiki institusi negara untuk mewujudkan iklim perniagaan yang mesra pelabur.

Beliau mendesak agar amalan menyusahkan dan menekan usahawan dihentikan segera.

“Sebaliknya, kerajaan perlu perbaiki semua institusi kita supaya iklim perniagaan menjadi lebih baik. Jangan asyik tekan dan ganggu para usahawan. Kalau di Malaysia kelulusan boleh siap dalam masa 2 minggu, kenapa kita perlukan sampai 2 tahun? Memalukan!” tegas Prabowo dengan nada yang lantang.

Menurut Presiden, punca utama kelewatan pelaburan ini adalah disebabkan wujudnya lambakan peraturan peringkat bawahan yang bertindak sebagai halangan.

Beliau mengkritik sikap segelintir pihak bawahan yang terlalu banyak mengambil “inisiatif” untuk mencipta rantaian peraturan baharu yang rumit dan tidak perlu.

“Arahan Presiden dan menteri dah ada, tapi orang bawahan buat peraturan baru pula. Diubah-ubahnya lagi. Ada peraturan menterilah, peraturan teknikal, dan surat sokonganlah. Itu semua helah mereka saja.

“Saya nak ingatkan, semua menteri tolong pastikan birokrasi di bawah anda lebih teratur dan terkawal!” arah beliau kepada jemaah menteri yang hadir.

Lebih menarik, Prabowo turut mendedahkan ‘taktik’ birokrat senior yang sering mengambil kesempatan ke atas menteri yang keletihan semata-mata untuk meluluskan peraturan yang menyusahkan.

Beliau meminta ahli kabinetnya untuk sentiasa berwaspada dengan helah kelulusan dokumen pada lewat petang.

“Perangai biasa birokrat ni, mereka akan minta tandatangan pada pukul 5.30 petang. Masa tu anda dah penat, waktu itulah dia datang minta kelulusan.

“Betul tak? Betul. Ramai orang Golkar yang tersenyum ni, maknanya mereka dah banyak pengalamanlah tu,” seloroh Prabowo yang disambut senyuman ahli dewan, merujuk kepada pengalamannya sendiri dan taktik lapuk dalam arena pentadbiran.

Sebagai penutup tegurannya, Prabowo turut mengarahkan pembersihan secara menyeluruh terhadap amalan pungutan haram (pungli) yang masih berleluasa dan sering diadukan oleh para pengusaha.

Pesanan beliau amat jelas: pihak kerajaan tidak boleh teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang demi memastikan birokrasi negara kekal telus dan efisien.