Dalam landskap ekonomi gig hari ini, perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grab dan Foodpanda telah menjadi nadi utama kemudahan harian kita.

Dengan sifat pemurah rakyat Malaysia, ramai yang sudi berkongsi tip sebagai penghargaan kepada para rider namun jumlah yang relevan pula menjadi persoalan yang bermain di kalangan netizen.

Baru-baru ini, tular satu kisah ringkas di media sosial yang membuka satu perspektif baharu buat kita semua.

Kisah bermula apabila pemberian tip bernilai RM5 oleh seorang pelanggan telah disambut dengan reaksi penuh gembira dan ucapan terima kasih yang bertalu-talu daripada seorang penghantar makanan.

Aritu aku beli makanan, pastu suami keluar ambil. Pastu suami tanya “yang…awk tip rider ke?? Berapa banyak??”

Saya: aah…RM5 je. Nape
“Tak la..dia punya happy anda repeat ckp terima kasih, mcm banyak betul tip nya tu,” menceritakan semula kepada suaminya.

Reaksi luar biasa terhadap jumlah yang mungkin dianggap biasa-biasa oleh sesetengah pihak ini lantas mencetuskan satu persoalan seberapa besarkah impak nilai RM5 kepada struktur pendapatan harian golongan rider ini?

Dalam pada itu, dia turut berkongsi sering menasihati adiknya untuk memberi tip kepada rider walaupun hanya RM2 – RM3.

Namun, respon yang diberikan oleh adiknya yang menyatakan timbul rasa malu untuk memberi jumlah yang kecil membuatkan dia tertanya-tanya apakah pemberian RM2 ini dikira tidak relevan?

Persoalan wanita itu langsung dijawab oleh sejumlah rider dalam mengetahui realiti sebenar perspektif peribadi berkenaan tips.

Rata-rata menegaskan jumlah pemberian sekecil RM1 sekali pun sudah besar nikmatnya kerana mendapat wang sampingan yang kemudian boleh menampung kos seharian seperti minyak dan makanan.

RM1 saya dah melompat kak,” seloroh seorang rider.

Dakwa mereka lagi, para pelanggan juga tidak perlu gusar dengan pemberian yang kecil susulan bila dihimpunkan dalam tempoh sehari ia tetap akan bertambah menjadi besar.

“Tidak.. Tak sikit.. Kalau RM3 10orang bagi dah RM30 sehari. Kalau 30 hari dah RM900,” ujarnya sambil menambah wang sebesar itu sudah boleh menampung beli susu anak dan bayar komitmen bulanan kenderaan.

Bercakap perihal pemberian tip RM5, bagi rider ia merupakan satu jumlah yang besar di mana ada yang menyamakan angka itu dengan satu kerja pesanan kecil dengan kadar purata upah sekitar RM4 – RM6.

Oleh sebab itu, logiklah jika para rider sangat bersyukur dan mengucapkan terima kasih berulang-kali kepada pelanggan jika menerima RM5 kerana bukan sahaja boleh menampung kos minyak bahkan boleh jadi duit makan.

Menurut seorang rider lagi, ada individu yang sudah menetapkan sasaran wang yang perlu diraih dalam sehari, jadi dengan menerima tip inilah yang dapat memberikan ruang kepadanya untuk mencapai sasaran dan berehat lebih awal.

Seorang rider lain berkata “Tak perlu kak rasa sedikit atau banyak untuk tips tu. Seikhlas hati. Syukur aja kami ni terima seadanya” sebagai penegasan untuk membuang stigma tip hanya tertakluk jumlah tertentu yang dikira sebagai bermaruah walhal tidak sebegitu.

Dalam pada itu, tidak sekadar itu, sebahagian pasangan rider turut berkongsi kisah sebenar di mana mereka akan menerima mesej makluman dari suaminya setiap kali mendapat tip dari pelanggan tidak kira berapa jumlahnya.

Ini sudah cukup memberi gambaran sebarang jumlah tip yang diberikan sangat dihargai oleh para rider di luar sana.

Mengenai pemberian tip menerusi tunai atau aplikasi, ada yang mendakwa lebih selesa meraih dari aplikasi kerana boleh dicampur dengan gaji sekali.

Ada juga lebih meminati terima dalam bentuk wang tunai kerana boleh dipakai serta-merta untuk urusan seharian.