Malaysia tidak terlalu berdepan masalah untuk ke final acara regu berpasukan TM ISTAF Piala Dunia 2026 selepas menundukkan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Kemenangan yang mengesahkan pertemuan Malaysia bertemu musuh tradisi, Thailand di final pada jam 8.00 malam ini.

Regu pertama yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam) dan pengumpan, Aidil Aiman Azwawi jelas tidak mampu digugat gandingan Riyo Zuliya Wandra (tekong), Muh. Fahrul, Muhammad Ubaidur Rahman (perejam), Anwar Budiyanto dan Rifqy Puji Santoso (pengumpan).

Ia jelas dibuktikan apabila gandingan negara itu mudah memenangi set pertama dengan keputusan 15-7.

Zulkifli atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Sobey’ menyajikan variasi servis menarik terutamanya menerusi servis ‘drop’ yang memberikan masalah buat regu Indonesia.

Kecemerlangan itu diteruskan pada set kedua untuk Malaysia mengesahkan kemenangan perlawanan pertama dengan 15-9.

Mata kedua skuad negara pula disumbangkan gandingan Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Mohammad Azlan Alias (perejam) dan pengumpan, Farhan Adam yang berhadapan dengan Yudha Aswinatama (tekong), Saiful Rijal (perejam) dan Muhammad Hardiansyah Muliang selaku pengumpan.

Mereka bagaimanapun menerima tentangan cukup hebat sepanjang aksi berlangsung apabila ketinggalan 3-9 pada permulaan permainan.

Regu negara cuba memberikan saingan dengan kembali merapatkan kurang kepada 8-9 bagi menghidupkan peluang memenangi set pertama.

Namun, Indonesia tidak mahu membiarkan momentum positif itu berterusan dan mereka pula tampil lebih garang untuk menang set pertama dengan 15-10.

Keadaan semakin genting buat kem negara pada set kedua apabila aksi cukup intensiti tinggi hingga kedudukan terikat 16-16. Tuah nyata memihak Malaysia yang akhirnya meraih kemenangan untuk mengheret aksi ke ‘tie break’.

Mendapat semangat tambahan susulan kemenangan itu, Haziq, Azlan dan Farhan tampil lebih cemerlang untuk memastikan slot ke final menjadi milik Malaysia dengan kemenangan 15-9.