Malaysia muncul juara TM ISTAF Piala Dunia Sepaktakraw 2026 dengan penuh kontroversi selepas Thailand memilih untuk tidak meneruskan permainan pada lewat set kedua bagi regu ketiga.

Keputusan itu diambil kem Thailand sebagai tanda protes susulan keputusan pengadil yang dirasakan oleh mereka sebagai tidak adil.

Taruhan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun meletakkan Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam) dan pengumpan, Aidil Aiman Azwawi sebagai regu pertama nyata membuahkan hasil.

Ia dibuktikan apabila regu ‘Pantai Timur’ itu beraksi cemerlang dalam memberikan tekanan hebat buat Pornthep Tinbangbon (tekong), Jirasak Pakbuangoen (perejam) dan pengumpan, Marukin Phanmakon.

‘Blocking’ daripada Afifuddin beberapa kali menggagalkan usaha Jirasak untuk mendapatkan mata berharga buat Thailand.

Selain itu sorakan padu penyokong Malaysia yang memenuhi segenap ruang stadium turut memainkan peranan penting hingga Pornthep berdepan kesukaran untuk melakukan servis terbaiknya.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh regu negara untuk memenangi set pertama dengan selesa 15-9 sebagai tonik tambahan memasuki set kedua.

Namun skrip berbeza berlaku pada set kedua apabila Thailand mula mendapat rentak permainan yang membolehkan mereka mendahului 11-8.

Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 13-13 tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan 15-13 Thailand bagi mengheret aksi ke ‘tie break’.

Aksi sengit di set ketiga akhirnya memihak skuad negara selepas ‘blocking’ Afifuddin menghadiahkan mata pertama Malaysia hasil kemenangan 15-12.

Thailand kembali mengikat kedudukan selepas gandingan Kritsanapong Nontakote (tekong), Tanaphon Sapyen (perejam) dan Wuttinun Kamsanor (pengumpan) mencatatkan kemenangan selesa 15-6, 15-10 ke atas Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Mohamad Azlan Alias selaku perejam dan pengumpan, Farhan Adam.

Kejuaraan yang dinantikan menjelma selepas Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong),  Hafizul Hayazi Adnan (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) berjaya menundukkan Jakkrit Tinbangbon, Sittipong Khamchan (tekong) Phutawan Sopa (perejam) dan Wichan Temkort selaku pengumpan.

Walaupun diberikan tentangan sengit, regu negara itu menyerap tekanan dengan baik untuk menang set pertama 15-13.

Memasuki peringkat akhir set kedua, kontroversi berlaku ketika kedudukan 14-13 memihak Thailand selepas pengadil dari Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan mata diraih Thailand apabila mendakwa kaki Phutawan Sopa melepasi garisan di bawah jaring.

Keadaan tersebut menyebabkan pertikaian berpanjangan yang turut bersangkutan dengan beberapa perkara lain hingga menyebabkan kem Thailand melakukan protes hingga enggan meneruskan permainan.

Sehubungan dengan itu, Mohd Radhi sebulat suara mengumumkan Malaysia muncul pemenang perlawanan ini sekali gus muncul juara.