Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun tanpa berselindung berpendapat bahawa kem Thailand seharusnya lebih profesional dalam menangani kontroversi yang berlaku pada aksi final acara regu berpasukan dalam TM ISTAF Piala Dunia Sepaktakraw 2026 malam tadi.
Seperti yang semakin hangat diperkatakan, kem Thailand memutuskan untuk tidak meneruskan permainan ketika situasi genting sebagai tanda protes terhadap keputusan diambil pengadil dari Singapura, Mohd Radhi Che Mei.
Sehubungan dengan itu, Radhi akhirnya mengumumkan bahawa Malaysia telah diumumkan sebagai pemenang sekali gus menjuarai kejohanan.
Ahmad Jais Mahu Pemain Bersifat Profesional
Ahmad Jais yang jelas tidak begitu berpuas hati dengan cara pasukannya meraih kejayaan menyatakan pendapatnya berkenaan isu tersebut.
“Bagi saya secara peribadi, memang kita tidak berpuas hati dengan kemenangan sebegini. Namun dah rezeki pasukan kita untuk mencipta kejayaan dalam situasi sebegini dan kita terima keputusan ini,” ujar beliau menurut sumber laporan BH Online.
“Mungkin mereka tidak puas hati dengan keputusan pengadil. Namun kalau kita tengok daripada video rujukan, memang ternyata kaki pemain Thailand melepasi jaring bawah.
“Bagi saya apa yang berlaku itu semuanya keputusan pengadil dan kita perlu menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan yang telah dimuktamadkan.”
“Pengadil sudah memberikan masa untuk mereka kembali ke gelanggang, namun mereka memilih untuk tidak meneruskan perlawanan.”
“Bagi saya mereka perlu bersikap profesional untuk meneruskan perlawanan pada baki beberapa mata lagi.”
“Sebenarnya peluang untuk perlawanan itu masih terbuka dan sekiranya insiden itu tidak berlaku, pasukan negara akan berdepan cabaran yang besar.
“Belum tentu kita boleh menjadi juara pada malam itu, tetapi apa yang dilakukan pasukan Thailand akhirnya menjadi kerugian kepada mereka,” tambah Ahmad Jais lagi.