Kontroversi final TM ISTAF Piala Dunia Sepaktakraw 2026 masih hangat diperkatakan, namun satu hantaran daripada laman Facebook Sanamtakraw yang dipercayai dekat dengan kem pasukan Thailand mencuri perhatian apabila tampil dengan mesej damai dan penuh semangat kesukanan.

Walaupun perlawanan berlangsung dalam suasana tegang serta diakhiri dengan keputusan kontroversi, hantaran tersebut memilih untuk memberi fokus kepada nilai persahabatan, rasa hormat dan semangat sukan antara kedua-dua negara.

Lebih menarik, laman Facebook tersebut turut menggunakan Bahasa Melayu dalam hantaran berkenaan sebelum disusuli versi Bahasa Thailand di bahagian bawah, sekali gus mencuri perhatian ramai peminat sepak takraw tempatan.

Puji Malaysia, Hargai Semangat Perlawanan

Dalam hantaran yang dimuat naik berserta foto kenangan pemain Thailand dan penyokong Malaysia, Sanamtakraw mengakui terdapat rasa kecewa terhadap beberapa keputusan pengadilan, namun pada masa sama tetap memberi penghargaan kepada aksi yang dipamerkan pasukan Malaysia.

“Sebagai penyokong pasukan sepak takraw Thailand, kami mungkin berasa kecewa dengan beberapa keputusan pengadilan yang dilihat kurang telus dan kurang adil dalam perlawanan hari ini.”

Namun dalam masa yang sama, mereka turut menyatakan rasa hormat terhadap pasukan negara.

“Namun dalam masa yang sama, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Malaysia atas perlawanan yang penuh berkualiti, semangat juang, dan jiwa kesukanan yang sebenar.”

Hargai Penyokong Malaysia Di Stadium

Apa yang lebih menarik, hantaran tersebut turut menyentuh tentang suasana di dalam stadium yang masih kekal penuh hormat walaupun perlawanan berlangsung dalam emosi tinggi.

“Terima kasih juga kepada para penyokong Malaysia yang walaupun perlawanan berlangsung dengan penuh emosi dan intensiti, selepas tamat permainan masih memberikan senyuman, persahabatan, dan rasa hormat antara satu sama lain.”

“Kita semua sebenarnya mempunyai tujuan yang sama.”

'Page' Popular Komuniti Sepak Takraw Thailand Puji Pasukan & Penyokong Malaysia
Kredit Foto: Sanamtakraw

Sanamtakraw turut menegaskan bahawa di sebalik persaingan sengit di gelanggang, kedua-dua negara sebenarnya berkongsi tujuan yang sama dalam sukan.

“Kerana pada akhirnya… Kita semua sebenarnya mempunyai tujuan yang sama. Menyokong sukan yang kita cintai. Menyokong negara kita untuk mencapai kemenangan.”

Mereka juga mengingatkan bahawa selepas wisel penamat, kehidupan dan semangat kesukanan perlu terus dipelihara tanpa membawa dendam.

“Dan apabila perlawanan berakhir, tidak kira apa pun keputusannya, kehidupan tetap perlu diteruskan.”

Menutup hantaran tersebut, Sanamtakraw berharap perlawanan seperti ini akan terus dikenang atas nilai sukan dan persahabatan, bukan semata-mata kontroversi.

“Kami berharap pada masa akan datang, perlawanan hebat seperti ini akan dikenang kerana nilai sukan, kemampuan atlet, dan persahabatan sesama manusia. Bukan kerana faktor lain yang tidak sepatutnya merosakkan keindahan sukan ini.”

Sumber