Pulau Bali sentiasa menjadi destinasi percutian impian dengan pantainya yang indah dan budaya yang memukau. Namun, bagi pempengaruh media sosial (influencers) dan pencipta kandungan, percutian ini mungkin berakhir dengan mimpi ngeri jika mereka tidak berhati-hati.

Pihak berkuasa imigresen Indonesia kini melancarkan tindakan tegas terhadap pemegang visa pelancong yang menyalahgunakan pas mereka untuk aktiviti berunsur promosi dan komersial.

Tiada Lagi Istilah ‘Gray Area’ untuk Pencipta Kandungan

Sebelum ini, timbul kekeliruan sama ada tajaan media sosial atau ulasan produk dianggap sebagai pelanggaran visa. Pihak berkuasa kini telah menggariskan dengan jelas bahawa penciptaan kandungan promosi di media sosial merupakan salah satu pelanggaran utama visa pelancong.

Malah, sebarang aktiviti “tanpa bayaran” yang membawa faedah ekonomi termasuk pertukaran barangan atau perkhidmatan juga dilarang keras di bawah undang-undang imigresen. Secara asasnya, visa pelancong dikhaskan hanya untuk tujuan riadah, percutian, dan aktiviti sosial, bukannya untuk meraih pendapatan.

Penguatkuasaan Ketat dan Hukuman Berat

Bagi membendung masalah ini, beratus-ratus pegawai imigresen yang tergabung di dalam Pasukan Petugas Dharma Dewata telah ditugaskan untuk memantau aktiviti pelancong di seluruh pulau, terutamanya di kawasan tumpuan seperti Canggu dan Uluwatu.

Pihak berkuasa kini turut menyemak hantaran di media sosial secara aktif bagi mengesan warga asing yang bekerja secara haram.

Individu yang gagal mematuhi syarat visa berdepan dengan hukuman berat yang merangkumi denda yang tinggi, pengusiran segera, dan juga larangan perjalanan.

Sebagai contoh, seorang bintang filem dewasa, Bonnie Blue, telah diusir dan disenaraihitamkan daripada memasuki Indonesia selama sekurang-kurangnya 10 tahun kerana melanggar syarat visa.

Peningkatan Keselamatan Portal E-Visa

Selain memperketatkan syarat kelulusan, pihak imigresen Indonesia juga memandang serius akan isu penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Kini, sistem e-visa negara tersebut telah dilengkapi dengan sistem pengesahan dua faktor (2FA) menggunakan kata laluan sekali guna (OTP) yang akan dihantar terus ke e-mel pendaftar.

Langkah tambahan ini diperkenalkan bagi memastikan hanya pemegang akaun yang sah mempunyai akses kepada dokumen perjalanan dan rekod visa mereka.

Pelancong juga disyorkan untuk menggunakan portal rasmi sahaja serta menetapkan kata laluan yang kukuh bagi mengelakkan sebarang pencerobohan.

Oleh itu, semua pelancong asing adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan aktiviti mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan sepanjang berada di Indonesia.

Bagi mana-mana pempengaruh yang berhasrat untuk merakam kandungan semasa berada di sana, langkah terbaik adalah dengan merujuk laman web rasmi bagi memastikan mereka memohon visa yang betul.