Membeli-belah di platform e-dagang seperti Shopee sememangnya memudahkan urusan harian, namun ia juga sering menjadi medan berlakunya pelbagai salah faham lucu antara pembeli dan penjual.

Terbaharu, tular sebuah perkongsian di laman Reddit yang memaparkan tangkap layar ulasan review seorang pelanggan, sekali gus mengundang tawa lelah netizen gara-gara insiden ‘tragedi kuaci’.

Kisah bermula apabila seorang individu membuat pesanan benih bunga matahari secara dalam talian, berkemungkinan besar dengan niat untuk bercucuk tanam di halaman rumah.

Namun, alangkah terkejutnya pembeli tersebut apabila bungkusan yang tiba rupa-rupanya sangat mirip dengan snek ringan yang sering dikunyah, iaitu kuaci.

Beranggapan dirinya telah ditipu oleh pihak penjual, pelanggan tersebut tanpa usul periksa terus meluahkan rasa tidak puas hati. Dia telah memberikan penarafan satu bintang berserta ulasan ringkas yang penuh dengan tanda tanya:

“Kuaci???”

Walau bagaimanapun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah maklum balas daripada pihak penjual. Kebiasaannya, penjual di platform e-dagang akan cuba menenangkan pelanggan dengan ayat yang memujuk, tetapi berbeza pula dengan situasi ini.

Penjual tersebut mengambil pendekatan yang sangat berterus-terang, logik, dan cukup savage.

Menjawab tuduhan pelanggan itu, penjual berkenaan meninggalkan komen balasan yang berbunyi:

“Kuaci datang dari benih bunga matahari. Tapi kuaci sudah proses tak boleh tanam. Kalau tak tahu sila Google. Bagi you satu bintang sebab tak pandai.”

Individu Pelik Beli Benih Bunga Matahari Tapi Dapat Kuaci, Respon 'Savage' Penjual Ini Bikin Netizen Pecah Perut
Sumber Gambar: Reddit

Maklum balas ‘pedas’ tetapi berasaskan fakta biologi itu nyata membuatkan ruangan komen di Reddit dibanjiri dengan pelbagai reaksi.

Rata-rata netizen berdekah membaca jawapan berani penjual tersebut yang secara terang-terangan ‘menyekolahkan’ pelanggannya tentang rupa bentuk dan asal-usul kuaci.

Bagi yang mungkin tidak tahu, kuaci sememangnya benih bunga matahari, bezanya kuaci komersial telah dipanggang dan digaramkan untuk dimakan, manakala benih mentah dibiarkan dalam keadaan asal untuk ditanam.

Kesimpulannya, insiden lucu ini memberi pengajaran ringkas tetapi penting buat kita semua. Sebagai pembeli yang bijak, rajin-rajinlah membuat carian ringkas di internet sebelum melontarkan tuduhan melulu atau meninggalkan ulasan buruk di kedai maya orang lain.

Walaupun pembeli tersebut mungkin berasa malu kerana tersilap langkah, sekurang-kurangnya insiden ini telah berjaya menceriakan hari ribuan netizen!