Percutian ke negara seberang, Indonesia, sentiasa menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk lari seketika daripada kesibukan kerja.

Dari syurga beli-belah di Jakarta dan Bandung, sehinggalah ke destinasi kebudayaan penuh estetik seperti Yogyakarta (Jogja), kehadiran pelancong Malaysia yang berterusan sebenarnya membuka satu peluang jana pendapatan pasif yang luar biasa.

Jika anda mempunyai kenderaan yang hanya diletakkan di rumah tanpa digunakan, ini mungkin ‘lubuk rezeki’ baharu yang patut anda terokai.

Satu idea bernas yang kini mula mendapat perhatian adalah dengan menyewakan kereta atau motosikal yang terbiar secara terus kepada pelancong Malaysia.

Pemuda Indonesia Dedah Kenapa Pelancong Malaysia Kini Jadi 'Lubuk Duit' Di Negaranya
Sumber Gambar: Astra Otoshop

Konsepnya cukup ringkas tetapi potensinya sangat besar. Daripada membiarkan kenderaan tersebut berhabuk, mengalami susut nilai, dan sekadar memenuhi ruang di garaj, langkah menyewakannya adalah satu cara bijak untuk menukar aset pasif menjadi aliran tunai yang konsisten.

Keberkesanan strategi ini bukanlah omongan kosong. Sebagai bukti, seorang pemilik motosikal di Jogja berkongsi bahawa kenderaannya sudah pun habis ditempah (*fully booked*) oleh pelancong Malaysia sehingga ke penghujung bulan Jun

Apa yang lebih menarik, fenomena permintaan tinggi ini berlaku di Jogja, sebuah destinasi yang secara tradisinya mungkin tidaklah sepadat Jakarta atau Bandung dengan kehadiran pelancong Malaysia

Jika di Jogja pun permintaannya sudah tidak menang tangan, bayangkan potensi keuntungan sekiranya kenderaan mereka berada di kawasan tumpuan utama.

Bagi mereka yang tertanya-tanya bagaimana mahu bermula, rahsia pemasaran ini sebenarnya terletak di hujung jari. Menurutnya, tidak perlukan modal pengiklanan yang besar, cukup sekadar memanfaatkan platform Threads.

Trend masa kini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dan pelancong, sangat aktif berinteraksi serta mencari maklumat healing melalui aplikasi tersebut.

Platform ini membolehkan promosi netizen seberang sampai secara terus dan organik kepada sasaran audiens yang sedang pening menyusun jadual perjalanan mereka.

“Orang Malaysia ni semua baik-baik belaka dan tak pernah tawar harga haha. Saya tak risau pun kenderaan tu kena kebas/dilarikan. Yang penting buat background check je nak pastikan dorang memang betul-betul pelancong,” kongsi pengalamannya.

Dia malah berseloroh mengatakan sebab dia tidak risau motor itu dicuri kerana percaya rakyat Malaysia sememangnya jujur dan tidak berbaloi untuk merosakkan reputasi untuk kenderaan yang boleh dibeli dengan wang Ringgit Malaysia yang kuat.

Rakyat Malaysia juga dipuji kerana sikap sopan santun dan juga tidak lokek untuk memberikan tips kepada warga tempatan.

Peluang keemasan ini sudah terhidang di depan mata dan rugi besar jika dilepaskan menurutnya lagi.

Idea bernas ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari warganetnya di negara seberang dan ramai mula mengorak langkah dalam merebut peluang itu.

Pasaran pelancong Malaysia yang inginkan mobiliti fleksibel dan bajet jimat merupakan lubuk pendapatan yang belum diterokai sepenuhnya oleh masyarakat awam.