Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengesahkan bahawa tayangan filem tempatan berjudul ‘Konspirasi’ di seluruh pawagam di Malaysia telah ditamatkan secara rasmi bermula 28 Mei 2026.
Maklumat berhubung penamatan ini diterima oleh pihak FINAS daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dan pihak pengedar filem, iaitu Media Prima Berhad.
Berdasarkan e-mel yang dikongsikan kepada FINAS, keputusan tersebut dibuat sepenuhnya atas permintaan pihak penerbit filem berkenaan, iaitu Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd.
Hasil semakan FINAS dengan pihak pengedar serta pempamer filem turut mendapati bahawa penamatan tayangan tersebut adalah murni permintaan penerbit sendiri dan sama sekali tidak melibatkan sebarang arahan daripada pihak lain.
Sebagai rekod, filem ‘Konspirasi’ telah mematuhi segala prosedur sebelum tayangan dengan memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) serta kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026.
Filem ini juga telah mula ditayangkan kepada umum pada 21 Mei 2026 secara meluas di 120 skrin pawagam di seluruh negara.
FINAS Tidak Dapat Hubungi Penerbit
Susulan daripada penamatan tayangan yang mengejut ini, pihak FINAS telah cuba menghubungi penerbit filem terbabit bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut berhubung keputusan mereka.
Walau bagaimanapun, sehingga kini wakil daripada Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. masih gagal dihubungi meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.
Pihak FINAS akan terus memantau situasi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak-pihak yang berkaitan dan berjanji akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.