Setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia pastinya sibuk dengan pelaksanaan ibadah korban.

Namun, satu hal yang menarik baru-baru ini adalah apabila sistem dan cara pengurusan ibadah korban di Malaysia telah tular dan mendapat perhatian meluas serta pujian melambung daripada rakyat negara jiran, Indonesia.

Perkara ini mula menjadi bualan hangat selepas seorang pengguna platform X dari Indonesia, dikenali sebagai @abulmuzaffar10, secara terbuka memuji tahap profesionalisme rakyat Malaysia dalam mengendalikan urusan potongan daging korban.

Dia menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sudah unggul dan maju ke depan, sehinggakan pengurusan asas seperti ibadah korban juga dikendalikan dengan sangat baik dan profesional.

Menurutnya lagi, kecekapan ini mencerminkan sikap sesebuah bangsa yang mementingkan aspek pendidikan dan mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas, membuatkan mereka jauh lebih sistematik berbanding negaranya sendiri.

Kenyataan ini turut disokong oleh seorang lagi netizen Indonesia, @elskxy, yang berkongsi pemerhatiannya mengenai perbezaan ketara proses korban di Malaysia berbanding di Indonesia.

Antara aspek yang paling mengagumkan mereka adalah tahap kebajikan haiwan yang sangat dijaga.

Di Malaysia, proses sembelihan dan pemotongan dilakukan oleh tenaga kerja profesional, sekali gus mengelakkan sebarang ‘drama’ atau situasi di mana haiwan korban dibiarkan terseksa atau dalam kesakitan yang lama.

Netizen Seberang Puji Melambung SOP Korban Malaysia, Akui Jauh Lebih Sistematik
Sumber Gambar: Threads

Selain itu, tahap kebersihan dan kelajuan pengurusan di Malaysia nyata berada pada kelas yang tersendiri. Proses melapah, memotong daging kepada bahagian kecil, sehinggalah kepada pembungkusan (packing), semuanya dilakukan secara tersusun dan bersih di atas meja.

Kelancaran operasi ini terbukti apabila kerja-kerja pengurusan yang bermula pada jam 10 pagi mampu disiapkan dengan pantas, dan daging sudah sedia untuk diedarkan kepada orang ramai menjelang jam 12 tengah hari.

Malah, pembungkusannya juga disifatkan sangat kemas dan memuaskan.

Secara keseluruhannya, pujian dan kekaguman daripada netizen seberang ini jelas membuktikan bahawa pengurusan ibadah korban di Malaysia sangat efisien, bersih, dan sistematik.

Ini bukan sahaja memastikan ibadah dijalankan dengan sempurna, malah turut menaikkan imej dan reputasi masyarakat kita yang mementingkan kualiti dan profesionalisme dalam apa jua urusan.