Polis merampas sebuah senapang patah dan sembilan butir peluru penabur yang dipercayai digunakan oleh Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dalam satu insiden tembakan membabitkan seekor lembu yang agresif di Kuala Perlis, petik Free Malaysia Today.
Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Yusop, menyatakan bahawa keterangan Abu Bakar telah direkodkan susulan laporan polis yang dibuat berhubung penularan video berdurasi 38 saat mengenai insiden tersebut di media sosial.
Hasil semakan oleh Bahagian Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) mengesahkan bahawa Abu Bakar memiliki lesen senjata api yang sah bagi senapang patah berkenaan.
Lembu Agresif Semasa Acara Di Kuala Perlis
“Tindakan tersebut diambil kerana seekor lembu telah menjadi agresif serta mengancam petugas program dan orang awam yang hadir ke program Korban Perdana Kuala Perlis,” kata Yusharifuddin dalam satu kenyataan.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman:
1. Penjara sehingga satu tahun;
2. Denda sehingga RM2,000;
3. Atau kedua-duanya sekali.