Baru-baru ini, media sosial seberang kecoh apabila tular satu hantaran yang didakwa milik seorang pelancong asing.

Menerusi hantaran itu, dia telah memuat naik gambar sedang memegang helaian kertas wang rupiah yang banyak sambil tersenyum dengan jumlah tukaran yang diterimanya.

“”Duit Monopoly!!! Keluarkan 3 juta Rupiah Indonesia dari akaun bank saya, lebih kurang $165 (~bersamaan RM655.13)“, tulisnya.

Ekoran mendapat pertukaran yang besar dengan jumlah wang asal yang kecil, individu tersebut secara selamba melabelkan wang kertas Rupiah Indonesia (IDR) menyerupai wang mainan ‘Monopoly’.

Seperti yang dijangka, gurauan tersebut mengundang berbelah bahagi reaksi netizen Indonesia yang mana sebahagian menganggap sebagai jenaka sementara yang lain melihat ia sebagai satu petanda jelas tentang tahap ekonomi negara yang kian meruncing.

Tidak kurang juga ada yang mengecam kenyataan itu kerana didapati seperti merendahkan imej Indonesia di mata dunia.

Salah satu komen yang ‘menyengat’ bagi rakyat Indonesia adalah apabila negara mereka dilabel sebagai Zimbawe yang ‘seterusnya’ di mana negara terbabit sinonim dengan isu hiperinflasi yang melampau, lalu nilai wangnya jatuh merudum sehingga kerajaan terpaksa mencetak wang kertas bernilai bertrilion dolar.

Oleh itu, timbul kerisauan akan kos sara hidup yang kian mencanak apabila nilai matawang semakin mengecil sementara pendapatan masih ditakuk lama.

Sementara itu, ada yang menegur pelancong terbabit untuk menjaga adab ketika melancong ke negara tersebut kerana dikira bertuah boleh menikmati hospitaliti dan tempat pelancongan menarik dengan kos yang rendah.

Tidak kurang juga, ada yang mencadangkan idea untuk mengenakan cukai yang tinggi terhadap pelancong luar bagi mengukuhkan ekonomi setempat dan menyumbang aliran wang kepada negara secara tidak langsung.

Insiden ini secara tidak langsung membuka mata banyak pihak mengenai batas gurauan di media sosial. Bagi kelompok pelancong asing, kelebihan nilai tukaran mata wang seharusnya dihargai sebagai peluang keemasan untuk menikmati percutian yang berbaloi, bukannya dijadikan modal untuk memperlekehkan lambang identiti sesebuah negara.

Di sisi yang lain, perdebatan yang tercetus dalam kalangan netizen seberang membuktikan bahawa sentimen kebanggaan nasional dan kelangsungan ekonomi sentiasa menjadi topik yang sangat sensitif. Walau sedalam mana pun jurang perbezaan ekonomi antara dua negara, adab dan rasa hormat tetap menjadi ‘mata wang’ paling mahal yang perlu dibawa oleh setiap individu ke mana sahaja mereka melangkah.