Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil maklum tentang penularan sebuah rakaman video di platform media sosial yang membuat dakwaan palsu bahawa anggota penguat kuasa telah menerima rasuah bagi melepaskan barangan sitaan kepada penjaja warga asing.

Menerusi hantaran Facebook DBKL, insiden yang berlaku di Jalan Bukit Bintang pada 7 Jun 2026 (Ahad) jam 8.00 malam, sebenarnya melibatkan seorang penjaja warganegara tempatan yang mengendalikan perniagaan jagung bakar tanpa lesen yang sah.

Susulan pelanggaran tersebut, tindakan tegas telah dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Menerusi tindakan ini, pihak petugas DBKL telah menyita kelengkapan utama perniagaan tersebut, iaitu sebuah troli dan satu unit tong gas, untuk dibawa ke stor sitaan.

Berhubung isu penyerahan semula kotak polistirena putih seperti yang dipaparkan dalam video yang tular itu, ia merupakan budi bicara yang diberikan setelah peniaga tersebut merayu untuk mendapatkan semula bahan makanan mudah rosak, iaitu jagung mentah.

Walaupun kotak makanan tersebut dipulangkan bersama amaran keras, tindakan undang-undang ke atas kelengkapan perniagaan yang lain tetap diteruskan secara tegas dan konsisten.

DBKL ingin menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan tanggungjawab demi memelihara kesejahteraan awam.

Sebagai bukti ketegasan penguatkuasaan, sebanyak 5 tindakan sitaan dan 4 notis kompaun telah dikeluarkan di kawasan sekitar pada hari yang sama, iaitu 7 Jun 2026.

Sehubungan dengan itu, DBKL memandang serius dan menolak sekeras-kerasnya tohmahan yang tidak berasas ini.

Orang ramai diseru agar menghentikan sebarang penyebaran spekulasi palsu yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menjejaskan kredibiliti serta reputasi DBKL sebagai agensi penguatkuasaan

Sumber