Bagi Katherine, seorang pelancong dari Indonesia yang sedang bercuti di Malaysia, Kuala Lumpur sememangnya sebuah kota yang indah.

Namun, ada satu kejadian di ibu kota yang membuatkan percutiannya kali ini tidak akan dilupakan seumur hidup. Pengalaman ini bukan tentang keindahan tempat pelancongan, sebaliknya tentang kejujuran luar biasa rakyat Malaysia.

Kisahnya bermula pada suatu pagi apabila Katherine mengakui dirinya agak kelam-kabut kerana terlewat bangun tidur.

Memandangkan jadual perjalanan yang agak padat, dia dan rakannya terus memesan kenderaan melalui aplikasi Bolt untuk menuju ke Dataran Merdeka. Di sana, mereka seronok bergambar hampir dua jam dan sempat menikmati hidangan di sebuah restoran Oriental sebelum beralih angin ke sebuah kafe popular, Niko Neko.

Detik Cemas Di Kafe Niko Neko

Di kafe itulah detik cemas bermula. Sebaik sahaja melangkah masuk untuk memesan minuman, Katherine meraba-raba begnya untuk mengambil barang. Alangkah luruhnya jantung gadis itu apabila menyedari sampul surat yang berisi wang tunai sekitar RM300 sudah hilang!

Waktu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa paniknya Katherine hingga terasa seolah-olah jantungnya mahu tercabut. Wang tunai itu sangat penting untuk percutiannya di sini.

Dia berpusing keliling menanyakan kepada setiap orang yang ada di situ dengan harapan ada yang menjumpainya, namun hampa. Katherine benar-benar menyalahkan kecuaian diri sendiri pada saat itu dan hampir menangis.

Melihat Katherine yang sudah mula hilang punca, rakan perjalanannya cuba menenangkan keadaan dan tiba-tiba mendapat satu idea spontan.

“Katherine, apa kata kita cuba hubungi pemandu Bolt yang hantar kita tadi?” katanya.

Sinar Harapan Dari Bukit Jalil

Tanpa berfikir panjang, mereka terus membuat panggilan. Mujurlah, panggilan tersebut diangkat! Pemandu itu memaklumkan bahawa dia sudah berada agak jauh dari lokasi mereka, iaitu di kawasan Bukit Jalil. Beliau kemudiannya memberikan nombor WhatsApp untuk memudahkan mereka berkomunikasi.

'Tak Sangka Kejadian Ini Berlaku Di Malaysia' – Pelancong Indonesia Ini Kongsi Sisi Sebenar Pemandu E-Hailing Tempatan
Sumber Gambar: Threads

Melalui perbualan teks, pemandu tersebut mengesahkan bahawa sampul surat Katherine memang tercicir di dalam keretanya. Lebih mengharukan, dia dengan rela hati berjanji untuk berpatah balik ke tempat mereka dalam masa satu jam.

Tepat seperti yang dijanjikan, abang pemandu Bolt itu tiba di hadapan kafe dan menyerahkan semula sampul surat tersebut dengan senyuman yang cukup tenang.

“Nah, ini sampulnya. Jangan risau, saya langsung tak buka atau usik apa-apa barang di dalamnya,”* kata abang pemandu itu dengan jujur.

“Ini Memang Sudah Menjadi Kewajipan Saya…”

Katherine segera memeriksa kandungannya, dan ya, semuanya masih utuh. Memikirkan jarak perjalanan yang jauh dari Bukit Jalil semata-mata untuk menghantar barang yang tercicir, dia dengan rasa rendah diri berniat untuk menghulurkan sedikit wang saguhati. Bagi Katherine, itu adalah nilai yang kecil berbanding pengorbanan masa dan minyak kereta pemandu tersebut.

Namun, apa yang mengejutkan gadis itu ialah apabila pemandu tersebut menolak pemberiannya dengan lembut.

'Tak Sangka Kejadian Ini Berlaku Di Malaysia' – Pelancong Indonesia Ini Kongsi Sisi Sebenar Pemandu E-Hailing Tempatan
Sumber Gambar: Threads

“Eh, tak apa, tak perlu susah-susah. Saya ikhlas. Ini memang sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab saya sebagai pemandu,” balasnya ringkas.

Katherine terkedu seketika. Di saat dunia hari ini sering digambarkan dengan pelbagai kisah negatif, rupa-rupanya di Malaysia masih subur dengan insan yang begitu jujur, amanah, dan tulus dalam mencari rezeki.

“Gila, syurga buat dirimu, abang baik!” bisik hati kecil Katherine.

Pengalaman ini benar-benar membuatkan Katherine bukan sahaja kagum dengan mercu tanda di Malaysia, malah jatuh cinta dengan kehangatan dan kebaikan hati rakyatnya.