Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal melaksanakan tiga penambahbaikan utama bagi memudahkan urusan pengusaha premis makanan di ibu negara.

Langkah ini diambil berikutan sesi libat urus antara DBKL bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, serta wakil persatuan peniaga termasuk Persatuan Pekedai Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur, serta Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).

Inisiatif ini terpakai secara adil kepada semua peniaga yang memenuhi syarat tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.

Tiga penambahbaikan tersebut merangkumi:

1. Permit Meja dan Kerusi Kaki Lima: Bayaran permit akan ditetapkan pada kadar RM30 sebulan bagi setiap set meja dan kerusi.

Permohonan boleh dikemukakan melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi serta kelebaran kaki lima.

Sebarang kelulusan tertakluk kepada syarat bahawa laluan pejalan kaki, pengguna kerusi roda serta akses bagi operasi kecemasan tidak terhalang.

2. Permit Kerja Kecil: Bagi kerja kecil seperti pertukaran jubin atau siling yang tidak melibatkan perubahan kepada struktur bangunan, pemohon hanya perlu mengisi borang dan membuat pemakluman kepada DBKL.

Permit berkenaan boleh dikeluarkan secara terus melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing.

Penambahbaikan ini bertujuan mempercepatkan proses permohonan bagi kerja yang berisiko rendah tanpa menjejaskan keperluan pematuhan dan keselamatan.

3. Pembukaan Semula Premis Selepas Tindakan Kebersihan: Premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas tindakan pembersihan dilaksanakan dengan sempurna.

Walau bagaimanapun, pembukaan semula bukan secara automatik dan hanya dibenarkan selepas pemeriksaan serta pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan dan keselamatan makanan telah dipenuhi.

Langkah ini bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra dan kondusif melalui penyeragaman prosedur di semua peringkat cawangan.

DBKL menegaskan bahawa pemudahan proses ini tetap mengutamakan aspek keselamatan, kebersihan, dan kepentingan awam secara telus serta berintegriti.

Sumber