Baru-baru ini, tular sebuah hantaran menyentuh hati di sebuah platform media sosial daripada pengguna bernama Iqie Kazama.
Hantaran tersebut merupakan catatan terakhir beliau, yang mesra disapa Along, menceritakan momen hari-hari terakhir operasi kafe milik arwah adiknya iaitu Secangkir.
Menerusi perkongsian itu, terselit rasa syukur, sebak, dan pelbagai kenangan manis yang pastinya meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya.
Sokongan Luar Biasa Rakyat Malaysia

Pada awalnya, Along mengakui sangat risau akan keselesaan para pelanggan yang terpaksa menunggu giliran dengan lama. Namun, sangkaannya meleset apabila rata-rata pelanggan yang hadir sangat bersabar dan saling menyantuni antara satu sama lain.
Lebih mengharukan, ada pelanggan yang sanggup membayar lebih daripada harga sebenar serta enggan menerima wang baki. Dalam nada terharu, Along memuji sikap tersebut dengan berkata, “Rakyat Malaysia sangat baik!”
Selain itu, Along turut merakamkan jutaan terima kasih kepada sahabat handai dan jiran tetangga. Rakan baiknya dari Hj Lan Canopy Kuantan bermurah hati menaja kanopi dan kipas secara percuma untuk keselesaan pengunjung.
Malah, pemilik kafe Sechawan yang juga jiran mereka turut memberikan kerjasama luar biasa dengan membenarkan pelanggan Secangkir duduk berehat di premis mereka sementara menunggu pesanan siap.
Sebak Di Dada Seorang Abang
Bagi pengunjung yang tertanya-tanya mengapa Along kurang menonjolkan diri pada malam tersebut, rupa-rupanya ada emosi berat yang sedang ditanggung.
Beliau mengakui tidak kuat dan berasa sangat sebak apabila melihat pelanggan membelek barangan peninggalan arwah adiknya.
Pemandangan melihat pelanggan yang sabar menanti demi merasa kek terakhir hasil air tangan kafe itu benar-benar melemahkan emosinya.
Secara berseloroh namun penuh makna, Along mengimbau kenangan lama. Beliau bercerita bagaimana beliau selalu hadir ke kafe sebelum ini dan berlagak seperti abang pemilik kafe, masuk ke dapur arwah dengan gaya bersahaja seolah-olah beliau juga pemiliknya.
Kenangan Terakhir Bersama Keluarga
Tatkala operasi malam terakhir itu sedang rancak berjalan, terlintas di fikiran Along bahawa malam itu adalah detik terakhir beliau dapat merasakan premis itu seperti milik keluarga mereka.
Tanpa berlengah, beliau terus memanggil dan menjemput seluruh ahli keluarga untuk bergambar beramai-ramai di hadapan kafe Secangkir.
Gambar tersebut menjadi potret kenangan terakhir yang sangat bermakna, mengabadikan memori indah keluarga bersama legasi yang ditinggalkan oleh arwah adik tersayang.
Pesanan Bermakna Buat Semua
Mengakhiri catatannya, Along mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih tertinggi kepada semua pihak yang sentiasa memberikan ucapan baik dan kata-kata semangat sepanjang tragedi yang menimpa keluarga mereka.
Beliau turut menitipkan satu pesanan ringkas namun sangat mendalam buat kita semua untuk sentiasa menghargai insan tersayang.
“Salam cium peluklah keluarga anda setiap perpisahan kerana ia mungkin jadi kali terakhir,” pesannya sebelum menamatkan penulisan tersebut. Dengan ucapan salam, Along melabuhkan tirai perjalanan Secangkir secara rasminya.