Empat pasukan yang bakal beraksi di separuh akhir Liga Premier STL 2026 bagi Grand Prix (GP) Pulau Pinang sudah pun diketahui selepas berakhirnya pertembungan antara Melaka Titans menentang Negeri Sembilan Antlers di Kompleks Sukan Balik Pulau sebentar tadi.
Kedah Eagles yang merupakan naib juara kumpulan C mempamerkan aksi cukup bertenaga untuk melangkah ke separuh akhir dengan menundukkan juara GP Perak, PDRM Defenders.

Dibarisi Amar Roslan (tekong), Hapeesorn Hnahno (tekong) dan Zulhusni Basri selaku apit kiri menyaksikan Kedah Eagles menang ‘straight set’ 15-13, 15-12.
Perak Bison yang kini mendapat sentuhan Pornthep Tinbangbon selaku tekong turut cemerlang untuk menewaskan Johor Tigris dalam aksi hingga ke ‘tie break’ dengan 15-7, 7-15, 15-5.
Aksi menarik ditampilkan Kelantan Warriors yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 11-15, 17-15, 17-16 dalam aksi cukup mendebarkan terutamanya pada ser kedua dan ketiga.
Slot terakhir ke separuh akhir menjadi Negeri Sembilan Antlers selepas menundukkan skuad himpunan bintang, Melaka Titans 15-13, 15-12.

Separuh Akhir Liga Premier STL 2026 GP Pulau Pinang
1) Kedah Eagles lawan Negeri Sembilan Antlers – 12.00 Tengah Hari
2) Kelantan Warriors lawan Perak Bison – 1.30 Petang