Langit malam di sekitar ibu kota baru-baru ini mencuri tumpuan ramai apabila persembahan cahaya dron berskala besar menghiasi ruang udara berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Kejutan penuh romantik melibatkan usahawan terkenal, Datuk Seri Vida (DSV) itu bukan sahaja membuatkan netizen tergamam dengan formasi cahaya yang memukau, malah turut mencetuskan satu persoalan besar di ruangan komen media sosial: berapakah sebenarnya kos untuk menjayakan pertunjukan mega seperti ini?

Anggaran Kasar Yang Buat Ramai Terdiam

Di platform Threads, perbincangan mengenai harga sebenar persembahan dron mula hangat diperkatakan selepas seorang pengguna dengan nama akaun genlab.my berkongsi anggaran kasar bagi acara tersebut.

Menerusi satu hantaran balas pada video persembahan di KLCC itu, beliau memberi bayangan tentang skala kewangan yang terlibat.

“100 biji dron RM30,000. Masa pertunjukan ini pakai 1,200 biji dron. Kira-kiralah sendiri,” tulisnya ringkas namun cukup untuk membuatkan warga maya pantas menekan kalkulator.

Jika diikutkan pada sifir mudah tersebut, penggunaan 1,200 unit dron bermakna kos keseluruhannya boleh mencecah sekurang-kurangnya RM360,000 hanya untuk satu malam.

Angka yang menyamai harga sebuah rumah teres atau kereta mewah itu nyata mengejutkan ramai pihak yang sebelum ini menyangka kosnya hanyalah sekitar puluhan ribu ringgit sahaja.

Bukan Sekadar Terbangkan Dron ke Udara

Menjawab rasa ingin tahu orang ramai yang tertanya-tanya mengapa harganya begitu tinggi, seorang penggiat industri yang menggunakan akaun gen_nizar tampil memberikan pencerahan berdasarkan pengalamannya sendiri mengendalikan acara sedemikian.

Menurut beliau, ramai yang terlepas pandang bahawa persembahan dron bukanlah semudah membeli peralatan di kedai dan terus menerbangkannya ke langit.

Sebaliknya, setiap persembahan memerlukan perancangan teliti serta kos operasi yang sangat tinggi di sebalik tabir.

“Mari saya beritahu kenapa pertunjukan dron ini mahal. Ini saya cerita berdasarkan pengalaman saya. 100 biji dron secara puratanya berharga RM30,000,” jelasnya memulakan perkongsian.

Beliau menjelaskan bahawa proses persediaan bermula jauh lebih awal dengan sesi mesyuarat serta tinjauan lokasi awal atau recce bersama pihak penganjur dan pihak berkuasa tempatan.

Selepas lokasi dikenal pasti, pihak pengendali perlu menyewa tapak atau ruang letak kereta bersaiz besar untuk tempoh sekurang-kurangnya dua hari dua malam bagi tujuan persiapan dan operasi.

Selain itu, aspek perundangan juga tidak boleh dipandang ringan kerana kos kelulusan serta permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sahaja sudah menelan belanja sekitar RM1,000 hingga RM3,000 bagi memastikan ruang udara selamat digunakan.

Dari sudut teknikal pula, kerja-kerja pengaturcaraan atau pengkodan formasi cahaya yang rumit perlu disiapkan lebih awal supaya setiap pergerakan di langit selari dengan muzik dan jalan cerita acara.

Menjelang hari kejadian, kerja-kerja pemasangan dan sesi percubaan wajib dilakukan sekurang-kurangnya sehari sebelum hari pelancaran sebenar.

Keseluruhan proses ini turut menuntut keperluan tenaga kerja yang ramai untuk mengawal sistem, memantau pergerakan serta menjaga keselamatan di kawasan pelancaran, di samping penyediaan kemudahan logistik termasuk pengangkutan khas dan sistem pengecasan bateri berskala besar untuk ratusan unit dron tersebut.

Risiko Tinggi, Satu Kesilapan Boleh Undang Padah

Tambah gen_nizar lagi, kadar bayaran tersebut hanyalah anggaran berdasarkan pengalamannya dan harga sebenar mungkin berbeza mengikut pakej yang ditawarkan oleh syarikat pengendali berlainan.

Apa yang pasti, aspek keselamatan menjadi keutamaan nombor satu dalam industri ini memandangkan ia melibatkan ratusan objek yang terbang serentak di ruang udara awam.

“Ini berdasarkan pengalaman saya. Kalau untuk acara lamaran itu saya tidak pasti berapa kosnya, lain syarikat lain tawarannya.

“Dron ini bukan permainan, kalau satu gagal berfungsi, risikonya sangat besar,” tegasnya menutup perkongsian tersebut.

Pendedahan jujur ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat tentang nilai sebenar di sebalik sesebuah karya seni teknologi.

Di sebalik keindahan cahaya yang hanya berlangsung selama beberapa minit di dada langit, tersimpan keringat puluhan tenaga pakar, kepakaran teknikal tinggi serta pelaburan modal yang bukan calang-calang demi memastikan setiap detik yang tercipta kekal selamat dan menjadi kenangan terindah.