Pengeluar bahan logam terkemuka dari Jepun, Mitsui Kinzoku Co Ltd, mengumumkan rancangan pelaburan berjumlah kira-kira RM4.87 bilion bagi membina sebuah kilang pembuatan kerajang tembaga baharu di sini.
Langkah strategik itu diambil bagi menampung lonjakan permintaan global daripada sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, petik Berita Harian.
Menurut kenyataan rasmi syarikat berkenaan, fasiliti baharu tersebut akan dibangunkan berhampiran tapak operasi anak syarikat sedia adanya, Mitsui Copper Foil (Malaysia) Sdn Bhd. Kilang tersebut dijadualkan memulakan operasi secara berperingkat bermula April 2031.
Fasiliti itu akan memberi tumpuan kepada pengeluaran kerajang tembaga ultra nipis MicroThin yang disokong pembawa bagi kegunaan pembungkusan semikonduktor, serta kerajang tembaga VSP jenis elektroenapan untuk papan litar frekuensi tinggi.
“Bagi memastikan bekalan produk kerajang tembaga kepada pelanggan kekal stabil dan berterusan di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan pesat pasaran AI dan semikonduktor, pihak syarikat telah memutuskan untuk membina kilang baharu ini di Malaysia,” jelas Mitsui Kinzoku dalam kenyataan tersebut.
Perincian Pelaburan dan Peningkatan Kapasiti
Daripada keseluruhan peruntukan pelaburan yang bakal dibiayai menerusi tunai dalaman, pinjaman serta sumber pembiayaan lain itu, pecahan kos adalah seperti berikut:
1. Peralatan pengeluaran dan aset lain: RM3.69 bilion
2. Pengambilan tanah: RM360 juta
3. Pembinaan bangunan: RM82 juta
Dari segi kapasiti pengeluaran, pembukaan kilang baharu ini dijangka meningkatkan pengeluaran MicroThin secara berperingkat sebanyak dua juta meter persegi sebulan menjelang tahun kewangan 2031, diikuti tambahan dua juta meter persegi lagi menjelang tahun kewangan 2033.
Bagi produk kerajang tembaga VSP pula, kilang tersebut akan menyumbang tambahan kapasiti sebanyak 600 tan sebulan masing-masing pada tahun kewangan 2031 dan 2032, sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhan kapasiti pengeluaran syarikat kepada 2,600 tan sebulan.
Tapak baharu yang diperoleh itu juga mempunyai keupayaan untuk menampung pengeluaran sehingga 3,600 tan sebulan.
Malah, syarikat turut menimbang potensi untuk meningkatkan kapasiti gabungan VSP di kedua-dua kilang baharu dan sedia ada sehingga 5,000 tan sebulan selari dengan perkembangan permintaan pasaran.