Ada pengguna Threads menyatakan slot kursus pra-perkahwinan dilaporkan penuh sepanjang tahun ini.

Ini susulan dakwaan ‘kebimbangan’ orang ramai terhadap desas-desus pelaksanaan format baharu yang bakal mewajibkan peserta menduduki ujian bertulis sebelum layak menerima sijil bermula tahun 2027.

 

View on Threads

 

Menerusi perkongsian pengendali kursus kahwin Threads @kursuskahwin_johor, perubahan tersebut dimaklumkan selepas sesi pembentangan bersama pihak jabatan agama baru-baru ini.

Menurut perkongsian tersebut, pelaksanaannya dijadualkan bermula pada tahun 2027, namun tarikh atau bulan sebenar ia mula dikuatkuasakan masih belum ditetapkan lagi.

Apa Yang Bakal Berubah Pada 2027?

Bagi menjawab persoalan ramai mengenai format baharu tersebut, pihak pengendali turut memperincikan beberapa perkara utama berkaitan pelaksanaan kursus di negeri Johor:

Wajib Lulus Ujian Bertulis: Peserta perlu menduduki dan lulus ujian bertulis sebelum layak menerima sijil kursus kahwin, berbeza dengan format sedia ada yang hanya memerlukan kehadiran penuh.

Format Kursus Masih Sama: Sesi ceramah masih dijalankan secara beramai-ramai di dalam dewan seperti biasa.

Peluang Menduduki Ujian Semula: Bagi peserta yang gagal, mereka tidak perlu bimbang kerana dibenarkan untuk menjawab ujian tersebut sekali lagi. Proses ini disamakan dengan sesi temu duga bersemuka bersama pegawai di pejabat kadi ketika mendaftar nikah.

Tempoh Sah Laku Sijil: Sijil kursus pra-perkahwinan yang diperoleh mempunyai tempoh sah laku selama 10 tahun, bukannya seumur hidup.

Reaksi Netizen: “Kalau Gagal, Maksudnya Belum Sedia Nak Kahwin”

Berita mengenai pengenalan ujian bertulis ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Walaupun ada yang berseloroh mahu segera mendaftar kursus tahun ini meskipun belum mempunyai calon, rata-rata netizen menyambut baik cadangan tersebut.

“Sebenarnya bagus juga sebab ramai yang pergi kursus kahwin sekadar sambil lewa dan tidak mendengar ceramah betul-betul,” komen seorang pengguna.

Selain itu, ramai berpendapat langkah mewajibkan ujian ini dapat memastikan bakal pengantin benar-benar cakna dan memahami tanggungjawab besar dalam alam rumah tangga sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

“Alhamdulillah, bagus juga ada peperiksaan. Sekurang-kurangnya kita betul-betul tahu erti makna perkahwinan. Kalau takut gagal ujian, maksudnya individu itu memang belum bersedia untuk berkahwin,” ujar seorang lagi netizen di Threads.