Pegawai perubatan swasta, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran menyatakan Muhammad Za’imuddin Azlan atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’ berdepan risiko lumpuh kekal selepas saraf tulang belakang toraks T12 mengalami kecederaan serius akibat dihempap dan dicederakan dalam insiden kekecohan melibatkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, pada 28 Mac lalu.

Menurutnya, Abang Belon berkemungkinan mengalami lumpuh kekal dan pada masa ini perlu berehat sepenuhnya serta dilarang melakukan sebarang kerja berat dalam tempoh tiga hingga enam bulan, petik Harian Metro.

“Hasil laporan perubatan ini menunjukkan ‘T12 kemik’ atau compressed, banyak komplikasi dan yang paling kita risau sekali, dia mula rasa kebas dan pesakit tidak dapat mengawal kencing.

“Dan komplikasi yang kita tak nak berlaku adalah risiko lumpuh. Kita berdoa dalam tempoh tiga hingga enam bulan, dia kembali pulih,” katanya dalam sidang media selepas Abang Belon selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Memetik laporan itu lagi, Muhammad Za’imuddin dijadualkan menjalani pembedahan bagi merawat hernia di bahagian skrotum yang kini semakin membesar pada 18 April ini.

Namun disebabkan insiden tersebut, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan dan kini tumpuan rawatan diberikan kepada tulang belakang T12 yang tidak boleh banyak digerakkan.

Muhammad Za’imuddin anggarkan kesakitan yang dihadapinya itu pada skala lapan hingga sembilan kerana ia melibatkan saraf di bahagian kiri dan kanan.

Dr Mohd Hafidz berkata, dalam nota discaj Muhammad Za’imuddin turut disertakan salinan sijil cuti sakit selama 48 hari.

Sepanjang tempoh itu dia tidak boleh bergerak dan tidak dapat lagi menjalankan kerja menjual belon.

Sumber