Tular baru-baru ini apabila pelawak Kanada yang berpangkalan di Indonesia, Christian Giacobbe, mengkritik keras seorang TikToker Indonesia yang dikenali sebagai @danceuzane kerana memuat naik video makan kelawar.
Video tersebut, yang menunjukkan @danceuzane menggoreng kelawar dan memakannya bersama mi segera, telah mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan netizen.
Giacobbe, yang terkenal dengan komedi sinisnya, menyentuh isu tersebut melalui sebuah video “stitched” di TikTok yang kini telah mencecah 1.2 juta tontonan.
Dalam video tersebut, beliau mengulas, “Apa resepi Wuhan ni?”, merujuk kepada sumber wabak Covid-19 yang dikatakan berasal dari kelawar.
Pelawak tersebut juga secara sinis bertanya sama ada Tiktoker itu ingin mencetuskan satu lagi pandemik akibat makan kelawar, sambil mencadangkan agar dia “makan ayam macam orang lain”.
Walaupun kritikannya disampaikan dengan nada jenaka, ia jelas membangkitkan kebimbangan yang serius mengenai amalan pemakanan haiwan eksotik ini.
Sejurus selepas video Giacobbe menjadi viral, @danceuzane bertindak memadam video asalnya.
Namun, kandungan lain yang kontroversial, termasuk makan lipas, tikus, dan tikus dari longkang, masih kekal di halaman TikToknya.
Isu ini mencetuskan kebimbangan ramai netizen, yang takut akan kemungkinan tercetusnya “lockdown season 2” akibat tabiat pemakanan ekstrem ini.
Beberapa komen di media sosial menyuarakan kegelisahan bahawa tindakan sebegitu mungkin menyumbang kepada penyebaran virus baharu, dengan salah seorang pengguna meramalkan pengumuman lockdown dalam masa sebulan.
Namun, tidak semua bersetuju.
Ada netizen yang tampil mempertahankan budaya pemakanan mereka, dengan mengatakan bahawa keluarga mereka telah makan “lauk dari alam semula jadi” seperti kelawar selama 15 tahun, dan mereka masih sihat tanpa sebarang masalah kesihatan.
Insiden ini menimbulkan perdebatan tentang pertembungan antara budaya tradisional dan kebimbangan kesihatan global.
Dalam sesetengah komuniti, memakan kelawar dan hidupan liar lain merupakan amalan biasa yang diwarisi turun-temurun.
Namun, dengan dunia baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19, tabiat seperti ini tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan risiko kesihatan yang lebih luas.