Gubernur Aceh, Muzakir Manaf atau lebih dikenali sebagai Mualem, baru-baru ini secara rasmi melancarkan Instruksi Gubernur (Ingub) Nomor 1 Tahun 2025 yang mewajibkan solat fardu berjemaah bagi penjawat awam dan orang ramai, serta aktiviti mengaji Al-Quran di semua institusi pendidikan, lapor BCC Indonesia.
Pelancaran Ingub ini dilakukan selepas solat Isyak dan Tarawih di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, Ahad lalu.
Dalam arahan tersebut, semua ASN dan rakyat Aceh diwajibkan menghentikan sebarang aktiviti sebaik azan berkumandang dan segera menunaikan solat berjemaah.
Mengaji 15 Minit Sebelum Sekolah
Selain itu, setiap pelajar di sekolah formal perlu meluangkan 15 minit sebelum sesi pembelajaran untuk mengaji Al-Quran.
Langkah ini diharap dapat memperdalam kefahaman agama dalam kalangan generasi muda.
“Bismillahirrahmanirrahim, saya Gubernur Aceh secara rasmi melancarkan Instruksi Gubernur Aceh Nomor 01 Tahun 2025,” ujar Mualem dalam majlis pelancaran.
Beliau turut berharap usaha ini mendapat redha Allah SWT demi memantapkan pelaksanaan syariat Islam di negeri yang pernah dilanda tragedi Tsunami.
Gerakan Aceh Berwakaf
Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan Gerakan Aceh Berwakaf, satu inisiatif untuk menggalakkan wakaf produktif bagi memajukan ekonomi kampung dan memperkukuh ekosistem wakaf.
“Alhamdulillah. Semoga Allah SWT meridhai niat dan usaha kita agar pelaksanaan syariat Islam di sini menjadi lebih baik,” tambah Mualem.
Tokoh Agama Sokong Langkah Gubernur
Ustaz Suryanto Sudirman, penceramah dalam solat Tarawih di Masjid Raya Baiturrahman, memuji keputusan Gubernur mewajibkan solat berjemaah.
Beliau mengingatkan jemaah agar sentiasa menghidupkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Semoga syariat dalam Al-Quran benar-benar hidup di bumi ini dalam semua aspek, baik muamalah, ibadah, mahupun aktiviti harian,” kata Ustaz Suryanto.
Langkah ini disambut baik oleh masyarakat yang komited dengan nilai-nilai Islam.
Namun, ada juga yang mempersoalkan sejauh mana pelaksanaannya, terutama bagi pekerja di sektor swasta yang mungkin sukar meninggalkan tugasan sepenuhnya ketika waktu solat.