Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke suku akhir AFC Champions League (ACL) Elite 2024/25 tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Mendapat sokongan padu puluhan ribu penyokong setia masih belum mampu untuk menghadirkan kemenangan diharapkan untuk melakar sejarah baharu buat kelab tersebut.
Bergson da Silva menggamatkan suasana ketika aksi hanya berlangsung 47 saat apabila tolakan mudahnya berjaya membocori gawang lawan.
Jaringan pantas itu bagaimanapun dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas Bergson dikesan berada dalam kedudukan ofsaid dalam cubaannya melakukan percubaan susulan.
Skuad kendalian Osmar Loss itu kemudiannya lebih tenang mengawal permainan dan mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ketujuh.
Berpunca daripada gerakan dimulakan Suphanat Mueanta, beliau kemudiannya memberikan ruang buat Guilherme Bissoli untuk melakukan percubaan leret dari luar kawasan penalti.
Andoni Zubiaurre yang mengawal gawang JDT bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan berbahaya daripada pemain import Brazil itu.
Memasuki minit ke-28, penyokong tuan rumah hampir melonjak kegembiraan apabila rembatan jarak dekat Afiq Fazail yang hanya mampu dipandang penjaga gol, Neil Etheridge sekadar singgah di tiang gol.
Kebangkitan Lewat Permainan JDT Tak Berhasil
Buriram United yang dilihat lebih memiliki kawalan kemas ketika membuka ruang untuk mengasak lawan akhirnya mendapat jaringan penting diharapkan pada minit ke-58.
Jaringan itu menjelma hasil kawalan kurang baik Jonathan Viera yang membolehkan Buriram United melakukan serangan balas pantas lalu disudahkan dengan percubaan melencong Suphanat bagi memisahkan kedudukan.
JDT sekali lagi hampir dihukum berselang lima minit kemudian tetapi lorongan cantik menyebabkan Suphanat hanya berhadapan dengan Zubiaurre, namun kuisannya berjaya diselamatkan penjaga gol kelahiran Sepanyol itu.
Anak buah Hector Bidoglio berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi percubaan Eddy Israfilov yang diselamatkan di atas garisan gol ketika Etheridge sudah pun tertewas dan rembatan Jese Rodriguez pada masa kecederaan.
Malah lebih dramatik pada saat akhir permainan apabila jaringan Jorge Obregon dibatalkan selepas beliau berada dalam keadaan ofsaid sekali gus memastikan slot ke suku akhir menjadi wakil dari Thailand itu.