Jaringan tunggal Zeca sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 buat Shandong Taishan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 yang berlangsung di Stadium Olimpik Jinan sebentar tadi.
Selepas mengharungi lima perlawanan, Shandong Taishan dan JDT terikat dengan tujuh mata, tetapi wakil Malaysia itu di kedudukan kelima (Shandong Taishan di kedudukan ketujuh) kerana berkelebihan perbezaan jaringan.
Baca Juga:
- Dapat Khidmat 3 Pemain Lebih Awal Untuk Hadapi ACL Elite 2024/25, JDT Ucap Terima Kasih Kepada Skuad Negara
- ACL Elite 2024/25: JDT Alami Kekalahan Sulung, Tunduk 1-3 Kepada Gwangju FC
- ACL Elite 2024/25: JDT Cemerlang Baham Shanghai Shenhua
Mengekalkan skuad ketika menang ke atas Ulsan Hyundai tempoh hari, JDT bagaimanapun menguasai permainan dan lebih banyak mencipta peluang dalam usaha merobek gawang Shandong Taishan.
Namun penjaga gol berpengalaman tuan rumah, Wang Dalei sering kali menjadi masalah dalam menggagalkan usaha dijelmakan jentera serangan JDT.
Ia dibuktikan dengan peluang dimiliki JDT pada minit ke-21 selepas Jorge Obregon melepasi perangkap ofsaid ketika menerima umpanan cantik daripada Juan Muniz.
Tolakan Obregon ketika beliau hanya berhadapan dengan Dalei dalam kawasan penalti, dengan tenang diselamatkan penjaga gol tersebut.
Lapan minit kemudian, giliran Arif Aiman pula mendapat ruang dalam kawasan penalti untuk melakukan percubaan, tetapi Dalei sekali lagi bertindak cemerlang dalam menafikan rembatan pemain lincah itu.
Dalei terus mencuri tumpuan dengan aksi tangkas dipamerkannya dalam menggagalkan percubaan Arif Aiman dalam kawasan penalti pada minit ke-35.
Memasuki minit ke-43, Obregon berjaya membolosi Wang Dalei, namun jaringannya dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sebaik menerima lorongan Arif Aiman.
Hanya seminit babak kedua bersambung, anak buah Tian Tang hampir berada dihadapan selepas Chen Pu melakukan hantaran lintang menarik buat Bi Jinhao.
Jinhao bagaimanapun gagal mengambil peluanh itu sebaiknya selepas tolakan dilakukannya ketika pintu gol JDT sudah terbuka sekadar liar melewati palang gol.
Tersentak dengan serangan tersebut, JDT memperkemaskan kembali aksi dengan dua percubaan dimiliki menerusi Oscar Arribas dan Arif Aiman tetapi Wang Dalei terus kebal menghalang gawangnya daripada dibolosi.
Kem tuan rumah akhirnya melonjak kegembiraan selepas kombinasi duo pemain import yang dimasukkan pada awal babak kedua menghadirkan keceriaan.
Ia susulan jaringan kemenangan dihasilkan Zeca selepas beliau yang menerima hantaran lolos Cryzan tidak mensia-sia peluang untuk menolak masuk bola bagi menewaskan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre pada minit ke-68.
Usaha kedua-dua pasukan selepas itu untuk mengubah kedudukan tidak berhasil sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua buat Shandong Taishan manakala JDT pula mengalami kekalahan kedua setakat ini.