Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan sulung dalam kempen Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 selepas tunduk 1-3 ke atas Gwangju FC pada aksi yang berlangsung di Yongin Mireu Stadium, sebentar tadi.
Segalanya kelihatan tidak berjalan dengan baik buat JDT pada awal permainan selepas gawang yang dikawal Andoni Zubiaurre bocor dua kali pada minit ketiga dan keenam.
Baca Juga:
- ACL Elite 2024/25: JDT Cemerlang Baham Shanghai Shenhua
- ACL Elite 2024/25: Terikat 2-2,Shanghai Port & JDT Sama Handal
- ACLE: Kualiti Padang Teruk, Gwangju FC Mohon Maaf Kepada Peminat
Jaringan pembukaan tuan rumah terhasil daripada percubaan ‘placing’ melencong daripada pemain import Albania, Jasir Asani yang gagal diselamatkan Zubiaurre.
Asani kemudiannya menjadikan kedudukan 2-0 selepas beliau merampas bola daripada kaki Feroz Baharudin dan meluru pantas ke dalam kawasan penalti lalu menyempurnakan peluang terhidang.
Tersentak dengan dua jaringan pantas tersebut, anak-anak buah Hector Bidoglio memperkemaskan aksi dan lebih menguasai permainan untuk mencipta beberapa peluang terbaik.
Ia jelas dibuktikan dengan peluang keemasan dicipta Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-13 selepas beliau melakukan percubaan leret dari luar kawasan penalti.
Namun penjaga gol Gwangju FC, Kim Kyeong-min cemerlang untuk menepis percubaan tersebut bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi.
Memasuki minit ke-27, giliran Natxo Insa yang bertindak selaku ketua pasukan menguji gawang Gwangju FC, tetapi percubaannya daripada luar kawasan penalti membias terkena pertahanan lawan lalu sedikit tersasar.
Sepakan penjuru yang diberikan ekoran percubaan Natxo itu jelas cukup bermakna buat JDT apabila jaringan terhasil menerusi Feroz.
Feroz yang tidak dikawal pertahanan Gwangju mengambil kesempatan tersebut untuk menanduk masuk bola bagi merapatkan defisit jaringan.
Gwangju hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-33, bagaimanapun gol yang terhasil ketika situasi sepakan penjuru dibatalkan ekoran kekasaran Kim Hyeong-jae ke atas Insa.
Baki aksi di babak pertama selepas itu menyaksikan Kyeong-min bekerja keras dalam menafikan percubaan-percubaan bahaya dijelmakan JDT terutamanya menerusi Arif Aiman dan Park Jun-heong.
Oscar Arribas hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-53, tetapi gol dihasilkannya dibatalkan pengadil kerana Jorge Obregon yang melakukan hantaran awal berada dalam kedudukan ofsaid.
Skuad kendalian Lee Jung-hyo itu menambah jaringan ketiga pada minit ke-88 selepas tandukan Heo Yool membias terkena Jun-heong lalu berjaya menewaskan Zubiaurre.
Kedudukan memihak tuan rumah itu kekal hingga tamat permainan untuk Gwangju meneruskan rentak kemenangan buat kali ketiga berturut-turut bagi menghuni tangga teratas peringkat kumpulan dengan sembilan mata manakala JDT masih ditangga kedua dengan empat mata.