Johor Darul Ta’zim (JDT) mencerahkan peluang untuk melangkah ke pusingan 16 Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 selepas berjaya menundukkan Central Coast Mariners 2-1 pada aksi yang berlangsung di Gosford, Australia sebentar tadi.

Kemenangan penting itu menyaksikan JDT kini menghuni tangga kelima dengan 11 mata dengan beberapa pencabar utama, Pohang Steelers dan Shanghai Port yang sedang beraksi.

Berdepan lawan yang jelas tidak berada di prestasi terbaik dalam kancah ACL Elite mahupun A League, JDT cukup bertenaga dengan menguasai permainan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyung Jin.

Penguasaan itu bagaimanapun hanya sia-sia terutamanya pada babak pertama apabila jentera tengah dan serangan JDT gagal untuk menghadirkan percubaan berbahaya.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu mendapat peluang terbaik pada masa kecederaan babak pertama selepas Arif Aiman Mohd Hanapi mendapat hantaran lolos cantik untuk meninggalkan pertahanan tuan rumah.

Namun penjaga gol, Dylan Cullen bertindak mengasari pemain sayap lincah itu sehingga menyebabkan beliau diperintahkan keluar padang.

Susulan kekasaran tersebut, JDT mendapat sepakan percuma yang memberikan ruang buat Bergson da Silva untuk membuka tirai jaringan pembukaan tetapi gol tersebut dibatalkan selepas Jordi Amat dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Penjaga gol gantian Central Coast Mariners, Adam Pavlesic terpaksa bekerja keras untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi ekoran serangan demi serangan dijelmakan JDT.

Beliau akhirnya kecewa pada minit ke-64 apabila percubaan pemain pertahanan baharu, Alvaro Gonzalez setelah menerima hantaran ‘cut back’ daripada Arif Aiman berjaya memberikan kelebihan buat JDT.

Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan enam minit apabila Alou Kuol menyudahkan peluang terhidang hasil hantaran Brian Kaltack ketika situasi sepakan percuma untuk kembali mengikat kedudukan.

Enggan pulang ke Johor Bahru dengan hanya membawa satu mata, Alvaro sekali lagi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-79 menerusi tandukan setelah menerima umpanan Heberty untuk menghadiahkan kemenangan bermakna buat JDT.