Johor Darul Ta’zim (JDT) menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri untuk mencatatkan kemenangan ke atas Shanghai Shenhua 3-0 pada aksi kedua Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 yang berlangsung sebentar tadi.
Mendapat sokongan padu penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, anak buah Hector Bidoglio mempamerkan aksi bertenaga terutamanya pada babak pertama.
Baca Juga:
- ACL Elite 2024/25: Terikat 2-2,Shanghai Port & JDT Sama Handal
- ACLE: Shanghai Shenhua Bimbang Dengan Kelibat Natxo Insa
- Senarai Lengkap 24 Kelab AFC Champions League Elite 2024-2025
Lebih menarik, jentera pertahanan yang dikepalai Eddy Israfilov, Shane Lowry dan Park Jun-Heong cukup kental bertahan hingga membuatkan unit serangan pasukan Liga Super China itu sukar untuk menembusi kawasan penalti JDT sepanjang perlawanan.
Ia jelas dibuktikan apabila JDT mendominasi aksi sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil dari Adel Ali Alnaqbi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Peluang pertama tuan rumah hadir tidak sampai seminit aksi bermula dimana hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi terus mencari Jorge Obregon dalam kawasan penalti.
Namun penyerang kelahiran Colombia gagal menyepak bola tersebut dengan baik ketika beliau tidak begitu dikawal barisan pemain pertahanan Shanghai Shenhua.
Obregon sekali lagi terlepas peluang terbaik berselang tujuh minit kemudian selepas sungkitan untuk menewaskan penjaga gol, Bao Yaxiong hanya sedikit tersasar sedikit di sebelah kiri pintu gol lawan.
Kehampaan itu ditebus Arif Aiman pada minit ke-11 selepas percubaannya dalam kawasan penalti setelah melepasi kawalan pertahanan Shanghai Shenhua tidak mampu diselamatkan Yaxiong untuk meletakkan JDT di hadapan.
Juan Muniz hampir menambah kedudukan pada minit ke-23 tetapi jaringannya dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) kerana Arif Aiman berada dalam kedudukan ofsaid ketika beliau melakukan hantaran lintang kepada Muniz.
Sebaik aksi bersambung selepas rujukan tersebut, JDT berjaya menambah jaringan kedua selepas Obregon menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik daripada Murilo Henrique de Araujo Santos pada minit ke-26.
Kem JDT terus melonjak kegembiraan ketika aksi memasuki masa tambahan babak pertama tetapi jaringan Eddy Israfilov dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid dalam usahanya untuk menolak masuk bola selepas percubaan susulan Arif Aiman diselamatkan Yaxiong.
Walaupun tidaklah terlalu berbahaya pada babak kedua, JDT masih mampu mencetak satu lagi jaringan dimana Juan Muniz menyempurnakan sepakan percuma untuk memastikan skuad Harimau Selatan meraih kemenangan tiga gol tanpa balas.
Kemenangan penting dilakarkan itu meletakkan JDT pada ketika ini di tangga kedua dengan empat mata, hanya ketinggalan dua mata dibelakang Gwangju dari Korea Selatan.