Ulsan HD yang dibimbing Kim Pan-gon mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 apabila tewas kepada Vissel Kobe 0-2, sebentar tadi.

Ia bukan sahaja rekod yang kurang menyenangkan buat Pan-gon dan anak-anak buahnya, malah lebih mengecewakan Ulsan masih belum berupaya menjaringkan sebarang gol dalam kempen paling berprestij di Asia tersebut setakat ini.

Baca Juga:

Ulsan sebelum ini tewas kepada dua lagi wakil Jepun iaitu Kawasaki Frontale (0-1) dan Yokohama F. Marinos (0-4).

Beraksi di Ulsan Sports Complex Stadium, Ulsan jelas berdepan kesukaran untuk merobek gawang lawan walaupun dilihat lebih menguasai kawalan permainan.

Sebaliknya, pasukan pelawat yang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan mengambil kesempatan tersebut menerusi jaringan Taisei Miyashiro pada minit ke-48.

Miyashiro yang merampas bola dari kaki pertahanan Ulsan HD dan kemudiannya melakukan rembatan kaki kiri leret untuk menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral barisan pemain Vissel Kobe dimana seminit kemudian hampir menambah jaringan.  Mujur, Hyeon-woo menafikan rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti yang diledakkan oleh Yoshinori Muto.

Memasuki minit ke-62, Jean Patric hampir menambah jaringan buat Vissel tetapi jaringannya dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus Miyashiro yang menanduk masuk bola hasil hantaran Muto untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-73 buat skuad kendalian Takayuki Yoshida itu.

Ulsan cuba untuk memberikan tekanan bagi mendapatkan jaringan tetapi percubaan Joo Min-kyu ketika beliau hanya berhadapan dengan Daiya Maekawa diselamatkan dengan tenang penjaga gol tersebut.

Maekawa masih kental bertahan apabila menyelamatkan percubaan jarak jauh Ko Seung-beom pada masa kecederaan.

Kedudukan memihak Vissel Kobe itu kekal hingga tamat permainan untuk tiga penuh penuh buat wakil Jepun tersebut sekali gus melonjak ke tangga kedua dengan tujuh mata manakala Ulsan HD pula di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata.