Buriram United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi kebuntuan jaringan selepas terikat 0-0 pada aksi pertama pusingan 16 AFC Champions League (ACL) Elite 2024/25 yang berlangsung di Chang Arena, Buriram sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan turut mencatatkan keputusan sama ketika beraksi dalam peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim, 3 Disember 2024.
Baca Juga:
- Senarai Lengkap Pasukan & Jadual Aksi Pusingan 16 ACL Elite 2024/25
- ACL Elite: Senarai Pasukan Dari Zon Timur Layak Ke Pusingan ‘Knockout’
- Mara Ke Pusingan 16 ACL Elite 2024/25, Ini Jumlah Keseluruhan Wang Diterima JDT
Buriram United, JDT Sama Tumpul
Berdepan lawan yang merupakan kelab gergasi Thailand, JDT sedikit tertekan dengan corak permainan kemas dijelmakan pasukan tuan rumah.
Namun, ia tidak menghalang anak buah Hector Bidoglio untuk menguji gawang Buriram United pada 20 minit awal permainan.
JDT mendapat peluang terbaik seawal minit ketujuh apabila sepakan percuma Jonathan Viera terus mencari Bergson da Silva yang berada dihadapan pintu gol lawan tetapi ia gagal ditanduk penyerang kelahiran Brazil itu.
Sepakan percuma dari jarak jauh oleh Viera pada minit ke-21 pula mudah ke dakapan penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge.
Aksi kemudiannya didominasi Buriram yang lebih selesa mengawal permainan dan hampir berada dihadapan pada minit ke-24.
Bagaimanapun, percubaan kaki kiri dari luar kawasan penalti oleh Guilherme Bisolli hanya sedikit melewati palang gol JDT yang dikawal Andoni Zubiaurrre.
Memasuki babak kedua, JDT bermula dengan baik dalam mengawal permainan tetapi jentera tengah yang diketuai Viera masih bergelut untuk merencana gerakan terbaik untuk merobek gawang lawan.
Sebaliknya, skuad kendalian Osmar Loss memberikan ancaman ke kubu JDT dimana tandukan Suphanat Mueanta setelah menerima hantaran lintang Lucas Crispin diselamatkan Zubiaurre pada minit ke-65.
Selepas tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai perlawanan ini walaupun Buriram United dan JDT berusaha keras untuk mendapatkan jaringan.
Namun, kedudukan tanpa jaringan itu kekal hingga tamat permainan dimana kedua-dua pasukan akan berentap pada aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 11 Mac nanti.