Leia Mayssa, ingat nama ini, seorang anak muda berusia 17 tahun, yang kini sedang mencipta sejarah.

Dia yang kini sedang membuat persedian ke luar negara di Kolej MARA Banting (KMB) bawah tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YTP) sedang melangkah jauh ke arena antarabangsa sebagai satu-satunya wakil Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih untuk menyertai Math Beyond Limits (MBL), sebuah kem Matematik Antarabangsa Berprestasi Tinggi di Poland.

Kem MBL yang bakal berlangsung selama dua minggu di Ryceka Dolna, Poland, hanya menerima 62 pelajar terpilih dari seluruh dunia.

Mula dianjurkan pada tahun 2016, tiada seorang pun dari rantau Asia Tenggara pernah layak menyertai kem ini — sehinggalah lahirnya seorang anak muda bernama Leia.

Di usia 17 tahun, Leia telah mencipta pencapaian yang tidak hanya mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga Asia Tenggara dalam dunia matematik.

Menerusi perkongsian Fdaus Ahmad, Leia sebelum ini sudah pun meletakkan dirinya di pentas dunia apabila meraih pingat gangsa dalam International Mathematical Olympiad (IMO) 2024 yang berlangsung di Bath, United Kingdom, hanya dua bulan lepas.

Kejayaan ini bukti bahawa bakat besar yang dimilikinya dan kemampuannya untuk berdiri di antara pakar-pakar matematik muda dari seluruh dunia.

Melihat kepada latar belakang akademiknya, Leia ini bukan calang-calang orang.

Di usia hanya 16 tahun, dia mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Permata Pintar dan mencatat keputusan cemerlang dengan 9A.

Usianya yang muda ini telah membuktikan bahawa dia adalah aset bagi negara dalam bidang akademik, khususnya dalam matematik.

Kisah kejayaan Leia Mayssa ini bukan hanya sekadar kisah seorang pelajar pintar, tetapi kisah seorang individu yang berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia dalam bidang matematik.

Hakikat bahawa dia merupakan satu-satunya individu dari rantau ini yang terpilih menyertai kem Math Beyond Limits sejak ia mula dianjurkan pada 2016 adalah satu pencapaian yang seharusnya diiktiraf dan dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Dengan dedikasi, usaha gigih, dan sokongan dari ibu bapa, Leia telah buktikan yang tiada sempadan untuk mencapai kejayaan walaupun di peringkat antarabangsa.

Olimpiad Matematik Malaysia juga layak menerima pujian kerana berjaya mencungkil bakat besar seperti Leia, yang kini menjadi harapan negara untuk terus menyerlah di pentas global.