Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Memetik Utusan Malaysia, Seri Paduka memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilapor dan disiarkan dalam dalam media massa berkaitan rumah amal berkenaan.
Seri Paduka bertitah, segala perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.
Oleh itu, Sultan Ibrahim menasihatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati.
“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” titah Seri Paduka kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.