Sebagai pembayar cukai, kita yang membiayai gaji ahli parlimen yang kita pilih. Jadi, secara logiknya, kita berhak tahu berapa banyak yang mereka terima dan perbandingan dengan negara-negara lain.
Realiti sebenarnya cukup mengejutkan. Sementara beberapa ahli parlimen di dunia menerima gaji yang kecil, ada yang meraih pendapatan sehingga 23 kali ganda daripada purata gaji di negara mereka.
Ahli Parlimen Malaysia: Empat Kali Ganda Purata Gaji Negara
Menurut laporan Yahoo Finance, Ahli Dewan Rakyat Malaysia memperoleh gaji asas sebanyak RM201,840 (US$43,290) setahun, hampir empat kali ganda purata gaji negara.

Tetapi gaji asas hanyalah permulaan.
Ahli Parlimen Malaysia menikmati pelbagai elaun tambahan termasuk:
- Tiket penerbangan kelas perniagaan
- Perbelanjaan hiburan
- Peruntukan pakaian rasmi
Semua ini meningkatkan pakej pendapatan mereka secara keseluruhan jauh melebihi gaji asas yang dinyatakan.
Bagaimana Malaysia Berbanding Dengan Negara Lain?
Melalui laporan tersebut juga, kita dapat bandingkan bagaimana gaji ahli politik Malaysia berbanding dengan beberapa negara lain:
Terendah Di Dunia
- Burundi: US$720 (RM3,355) setahun – 10 kali KURANG dari purata gaji negara
- Ethiopia: US$1,320 (RM6,150) setahun – dua pertiga daripada purata gaji negara
- Ukraine: US$8,770 (RM40,880) setahun – hanya 1.5 kali ganda purata gaji

Negara Jiran Asia
- India: US$13,800 (RM64,300) setahun – dua kali ganda purata gaji
- China: US$18,860 (RM87,900) setahun – hanya dibayar untuk ahli jawatankuasa tertentu
- Filipina: US$62,640 (RM291,900) setahun – 13 kali ganda purata gaji negara
- Singapura: US$144,100 (RM671,300) setahun – tiga kali ganda purata gaji
Barat Dan Negara Maju
- UK: US$121,973 (RM568,300) setahun – tiga kali ganda purata gaji
- Australia: US$146,930 (RM684,700) setahun – 3.5 kali ganda purata gaji
- USA: US$174,000 (RM810,800) setahun – tiga kali ganda purata gaji
Paling Tidak Seimbang
- Colombia: US$105,710 (RM492,600) setahun – 23 kali ganda purata gaji negara
- Brazil: US$90,980 (RM423,900) setahun – 18 kali ganda purata gaji
Teori Gaji Tinggi Mampu Elak Rasuah?
Satu hujah yang sering digunakan untuk membenarkan gaji besar untuk ahli politik adalah ia membantu mencegah rasuah kerana mereka kurang tergoda dengan sogokan atau keuntungan haram.
Menariknya, negara dengan gaji ahli politik terendah seperti Burundi juga merupakan yang paling tinggi kadar rasuahnya menurut Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International.

Namun, Denmark – yang membayar MP mereka US$120,320 (RM560,700) setahun – konsisten dinilai sebagai negara paling kurang rasuah di dunia, mencabar tanggapan bahawa gaji tinggi diperlukan untuk mencegah rasuah.
Adakah Ahli Parlimen Malaysia Dibayar Terlalu Tinggi?
Setelah melihat perbandingan global, MP Malaysia berada di tengah-tengah skala – tidak setinggi ahli Kongres Amerika, tetapi jauh lebih tinggi daripada banyak negara membangun lain.
Dengan empat kali ganda purata gaji negara, gaji ahli politik Malaysia memang tinggi secara relatif, tetapi tidak semembihi beberapa negara lain seperti Colombia (23 kali ganda) atau Brazil (18 kali ganda).