Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan Akaun 2 mereka bagi membayar caruman bulanan insurans kesihatan.

Memetik New Straits Times, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jika langkah ini dilaksanakan, seramai 16 juta pencarum KWSP berpotensi mendapat akses kepada rawatan di hospital swasta menggunakan caruman mereka.

Baca Juga:

Pendekatan yang dicadangkan ini, yang turut diamalkan di beberapa negara lain, bertujuan memastikan liputan insurans kesihatan yang lebih meluas untuk rakyat. Ketika ini, sebanyak 32 peratus daripada kos penjagaan kesihatan di Malaysia ditanggung sendiri oleh rakyat (out-of-pocket).

Senang Macam Singapura, Ahli KWSP Bakal Dibenarkan Guna Akaun 2 Untuk Bayar Insurans Kesihatan
Sumber Gambar: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Namun begitu, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa penyertaan dalam skim ini adalah secara pilihan.

“Peratusan kecil sahaja akan digunakan untuk bayaran insurans. Mereka tidak akan terasa pun, sebab bukan keluar dari poket sendiri – tapi dari KWSP.

“Ini kaedah terbaik. Lama-kelamaan, rakyat kita akan ada perlindungan macam di Singapura. Tapi kita tak boleh paksa,” katanya.

Ahli KWSP diberi pilihan

Senang Macam Singapura, Ahli KWSP Bakal Dibenarkan Guna Akaun 2 Untuk Bayar Insurans Kesihatan

Beliau berkata, ahli KWSP harus diberi pilihan kerana sesetengahnya mungkin mahukan perlindungan insurans yang lebih meluas seperti yang ditawarkan di pasaran.

Skim ini berbeza dengan inisiatif i-Lindung sedia ada yang hanya meliputi perlindungan hilang upaya, penyakit kritikal dan hayat.

Kerajaan juga merancang untuk melancarkan inisiatif ‘Rakan KKM’ menjelang suku ketiga tahun ini.

“Contohnya, hospital di Putrajaya dan Cyberjaya ada wad dan bilik pembedahan yang jarang digunakan akibat kekurangan kakitangan. Ini dianggap sebagai kapasiti lebihan,” jelasnya.

Setakat ini, empat hospital telah menyertai program tersebut: Hospital Cyberjaya, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Institut Kanser Negara (IKN).

“Pada masa sama, kita cipta ruang tambahan. Bila orang guna perkhidmatan Rakan KKM, ia beri ruang kepada golongan B40. Mereka akan dapat lebih banyak temu janji dan akses kepada doktor. Ini bantu kumpulan berpendapatan rendah dan penjawat awam guna sistem kesihatan awam dengan lebih cekap. Itu sistem yang kita mahu bina,” tambahnya.

Sebanyak 40 hospital awam dengan jumlah keseluruhan 800 katil telah dikenal pasti untuk menyertai inisiatif Rakan KKM secara berperingkat.

Projek ini melibatkan pelaburan keseluruhan sebanyak RM85 juta, termasuk peruntukan RM25 juta di bawah Belanjawan 2025.