Dalam satu kejadian tular yang berlaku di Jalan Kampung Jenderam Hulu, Sepang di mana seorang wanita dilihat tenang walaupun diekori oleh tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) PDRM sambil menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Video yang dimuat naik di akaun TikTok @xws1208 menunjukkan seorang wanita berusia tenang memandu motosikal bersama seorang penumpang tanpa memakai helmet.

Malah beliau dilihat menunggang dalam keadaan biasa sambil diekori rapat oleh tiga anggota polis bermotosikal jenis Kawasaki Z 250.

Kejadian tersebut dirakam oleh seorang penumpang kereta yang berada di hadapan mereka, dan suasana jadi ‘kelakar’ apabila pihak polis hanya sekadar mengikut rapat tanpa sebarang tindakan drastik, seolah-olah seperti satu konvoi pengiring rasmi.

Dalam satu komen yang menarik perhatian ramai di TikTok, seorang pengguna yang mendakwa dirinya anak kepada wanita tersebut (@m.f1rd4u592) memberi penjelasan mengenai situasi tersebut.

Menurutnya, insiden berlaku ketika ibunya dalam perjalanan ke Masjid Jenderam Hulu untuk menyelesaikan beberapa urusan.

Katanya lagi, pihak polis tidak mengeluarkan saman terhadap ibunya tetapi hanya memberi amaran selepas tiba di masjid.

“Mak saya ada urusan di Masjid Jenderam Hulu, polis ikut sampai masjid, kena bagi amaran sahaja,” tulisnya, mengesahkan bahawa tiada sebarang tindakan keras diambil oleh pihak berkuasa.

Rata-rata netizen terhibur dengan situasi itu dan menyangka wanita berkenaan mungkin seorang “VIP” kerana diiringi oleh tiga anggota polis.

Beberapa komen lucu muncul, seperti “Hebat makcik ni, polis siap escort lagi” dan ada juga yang mencadangkan makcik tersebut mungkin sebenarnya seorang anggota polis yang sedang bertugas.