Selain hotel, servis Airbnb juga menjadi tumpuan utama apabila mahu menginap di sesuatu lokasi. Memandangkan sesiapa sahaja boleh menyenaraikan hartanah mereka, maka ada segelintir individu melakukan aktiviti penipuan menerusinya.
Perkara ini didedahkan oleh seorang pengguna X yang mana mengalami kerugian berjumlah RM300 kerana terpedaya dengan taktik oleh seorang scammer. Secara dasarnya, mangsa telah membayar wang kepada individu yang membuat penyenaraian palsu lokasi Airbnb tersebut.
I'm not sparing any details, cause probably nama tipu.
Today I wanted to book an @Airbnb with my friends for a single night. I found an actually good listing at Lucentia Residence @ BBCC for the price of RM60, which came to a total of RM78.98 including service fee and taxes. pic.twitter.com/cn38sf2ibf
— ʕ•ᴥ•ʔ (@adamimanullah) September 27, 2023
Difahamkan beliau mahu menginap satu malam di Kuala Lumpur dan berminat dengan satu penyenaraian lokasi di platform Airbnb. Semuanya berjalan lancar sewaktu tempahan bersama individu dengan nama Kin Seng Ong yang menyamar sebagai pemilik hartanah itu.
Tetapi ketika mahu check-in, suspek itu bukan sahaja tidak memberikan kod QR untuk memasuki penginapan yang ditempah malah meminta deposit sekuriti sebanyak RM300 daripada beliau.
Mangsa bagaimanapun menurut sahaja arahan tersebut dan memberi resit pembayaran kepada individu terbabit yang mana didapati menggunakan tiga nama berlainan untuk tujuan penipuan.
Lebih kurang 10 minit kemudian, suspek menghantar video berdurasi 1 saat yang memaklumkan terdapat masalah tandas tersumbat sekaligus tidak membenarkan mangsa untuk memasuki rumah penginapan yang sudah ditempah.
Mangsa yang bingung itu kemudian dimaklumkan oleh pengawal keselamatan dan pengurus bahawa rumah unit 1205 ini telah banyak kali menerima kes sebegini. Lebih teruk lagi, perkara ini masih berlarutan dan ramai sudah menjadi mangsa penipuan.
Selain sudah membuat laporan polis, beliau juga berjaya membongkar beberapa penyenaraian unit lain di sekitar Kuala Lumpur menerusi platform Airbnb di bawah nama suspek berkenaan.
Oleh itu, beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dengan penyenaraian di platform Airbnb dan pastikan untuk melihat maklum balas pada akaun individu yang menawarkan rumah penginapan terlebih dahulu.
Dalam pada itu, anda juga digalakkan membuat segala urusan pembayaran menerusi aplikasi atau platform Airbnb dan bukannya secara bank in terus ke akaun individu. Hal ini bagi menjamin keselamatan wang anda dan juga memudahkan proses refund jika berlaku perkara sebegini.