Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Asyraf Wajdi menegaskan alasan bergurau sesama pelajar tidak boleh diterima untuk ‘melepaskan diri’ daripada dikenakan hukuman.

Beliau berkata sedemikian susulan tular video buli melibatkan seorang pelajar OKU di GIATMARA Alor Gajah.

Baca Juga:

Menerusi hantaran Facebook Dr Asyraf, beliau telah pun menghubungi dan meminta Ketua Pegawai Elsekutif GiatMARA untuk ambil tindakan dengan segera.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut adalah gurauan kasar sesama pelatih semasa menjalani latihan di GIATMARA Alor Gajah dahulu, kini mereka semua yang sedang menjalani Latihan Industri (LI) dalam Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Pengurusan GIATMARA Negeri Melaka akan panggil dan berjumpa dengan semua individu dalam video pada hari esok 5/5/2025 (Isnin) termasuk pelatih yang menjadi mangsa untuk siasatan lebih terperinci mengikut prosedur pengurusan pelatih sedia ada,” kata beliau.

Menurutnya lagi, beliau tidak akan berkompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk samaada fizikal atau mental.

“Tiada tempat buat PEMBULI di mana-mana Institusi Pendidikan MARA samaada di MRSM, GiatMARA, IKM, KM, KPM, KKTM, KPTM, MJII, GMI, UPTM mahupun UniKL,” tegas beliau.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi dua minit dimuat naik seorang lelaki mengenai pelajar OKU lelaki yang mempunyai masalah pembelajaran telah menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal, Melaka.