Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti tidak meragui kemampuan rekrut baharunya, Kylian Mbappe walaupun pemain tersebut masih belum mampu menghasilkan jaringan sulungnya bersama Los Blancos dalam kempen LaLiga.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Mbappe meletakkan sasaran untuk menjaringkan 50 gol buat kelab baharunya itu.
Baca Juga:
- Kylian Mbappe Sasar 50 Gol Bersama Real Madrid Musim Ini
- Mbappe Mengadu Gajinya Masih Belum Dibayar PSG
- Kolaborasi Real Madrid & BMW: Kylian Mbappe Pilih BMW i7 M70
Diturunkan sebagai penyerang pada aksi bertemu Mallorca dan Valladolid menyaksikan Mbappe berdepan kesukaran untuk merobek gawang lawan.
Lebih menarik, Endrick yang menggantikan Mbappe pada lewat permainan malam tadi berjaya membuka akaun jaringan peribadinya buat Real Madrid.
Real Madrid seri 1-1 bertemu Mallorca hasil jaringan Rodrygo manakala mereka menundukkan Valladolid menerusi gol yang dicipta Federico Valverde, Brahim Diaz dan Endrick.
Keadaan itu masih terlalu awal buat Mbappe dan langsung tidak membuatkan Ancelotti gusar dengan keadaan tersebut.
“Dia seorang penyerang yang hebat, pantas, dia bergerak dengan sangat baik tanpa bola, dia menyerang segenap ruang di padang,” ujar Ancelotti menurut sumber laporan Goal.
“Hari ini (bertemu Valladolid) dia mempunyai tiga atau empat peluang dan dia akan menjaringkan gol sama seperti kebiasaan yang dia lakukan sebelum ini, tidak kira dalam posisi apa pun dia bermain.”
Misi Mbappe untuk memburu jaringan sulungnya dalam saingan liga akan terarah kepada pertembungan menentang Las Palmas pada Khamis ini.
Berselang tiga hari kemudian, juara bertahan itu bakal melayani kunjungan Real Betis di Santiago Bernabeu.
Selepas mengharungi dua perlawanan liga, Real Madrid berada di tangga keempat dengan empat mata, ketinggalan dua mata di belakang Celta Vigo dan Barcelona.