Kita sedia maklum dengan khabar angin berhubung pembinaan Apple Store rasmi yang sedang berlangsung di menara Tun Razak Exchange. Malah, sudah ada penyenaraian sejumlah jawatan yang ditawarkan oleh Apple untuk lokasi di Malaysia menerusi beberapa platform.
Terbaharu, Apple sekali lagi dilihat mengemas kini sebanyak 11 jawatan kosong menerusi laman rasmi carian kerja Apple dan juga portal Linkedin. Kesemua jawatan yang dikemas kini pada hari ini berkait dengan tugasan profesional untuk melancarkan urusan bisnes mereka di Malaysia nanti.
Baca Juga:
- Produk ‘Refurbished’ Apple Mungkin Dijual Secara Rasmi Di Malaysia
- Foto Didakwa Apple Store Pertama Di Malaysia Kini Tular
Berdasarkan pemerhatian di laman rasmi carian kerja Apple, kali terakhir tawaran jawatan hanya dikemas kini pada tahun lalu dan kini dilihat terdapat penyenaraian sejumlah jawatan kosong baharu untuk lokasi di Malaysia.
Sementara di portal Linkedin pula, kesemua jawatan tersebut telah disenaraikan sejak minggu lalu dan menerima permohonan yang tinggi daripada warga tempatan. Dianggarkan lebih ribuan pemohon berminat menduduki jawatan yang ditawarkan untuk kedai rasmi Apple di Malaysia kelak.
Jawatan yang dilihat menerima permohonan tertinggi adalah pengurus, pakar operasi, bidang kreatif dan juga pakar berkaitan produk. Setakat ini, Apple masih belum memperincikan lagi di manakah lokasi sebenar yang dimaksudkan tetapi ramai menjangkakan semestinya di Menara TRX seperti khabar angin sebelum ini.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut berkenaan pembukaan rasmi Apple Store seperti yang diidamkan oleh ramai pengguna tempatan. Pasti ramai yang tidak sabar untuk mengunjungi kedai rasmi Apple ini memandangkan lebih mudah untuk berurusan secara terus dengan syarikat terkemuka itu.