Dua warga China telah berjaya membuat Apple Inc. berputih mata dan menanggung rugi sehingga RM10.55 juta akibat ‘scam’ atau penipuan korporat yang terancang, lapor New York Post.
Bagaimanapun, ‘kejayaan’ mereka menipu Apple membawa kepada hukuman penjara akibat dan diarahkan membayar balik ganti rugi berjumlah lebih RM10.55 juta – nilai harga iPhone yang ditipu.
Pengfei Xue, 34, dan Haotian Sun, 34, yang menetap di Germantown, Maryland, Amerika Syarikat, dijatuhi hukuman oleh mahkamah selepas didapati bersalah dalam kes penipuan melibatkan penukaran iPhone palsu kepada iPhone asli.
Xue menerima hukuman 54 bulan penjara, tiga tahun pembebasan tetapi akan diawasi dan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM1.68 juta.
Sun pula dijatuhi hukuman penjara lebih lama iaitu 57 bulan, tiga tahun pembebasan tetapi akan diawasi, dan diarahkan membayar ganti rugi yang jauh lebih besar, iaitu sebanyak RM4.52 juta.
Menurut dokumen mahkamah, antara Mei 2017 dan September 2019, Sun, Xue, dan beberapa individu lain menyusun satu rancangan untuk menipu Apple dengan menghantar iPhone tiruan dari Hong Kong ke seluruh Washington, DC.
Telefon-telefon tiruan ini kemudian dihantar ke kedai Apple dan penyedia perkhidmatan Apple yang sah, termasuk Apple Store di Georgetown, dengan nombor siri atau IMEI yang dipalsukan.
Melalui proses penipuan ini, mereka berjaya membuat Apple menggantikan iPhone tiruan itu dengan unit yang asli.
Berdasarkan bukti, sindiket ini berjaya menghantar lebih 6,000 unit iPhone palsu untuk ditukar, dengan menanggung kerugian berjumlah RM16 juta dan kerugian sebenar kepada Apple mencecah lebih RM10.55 juta.
Perbicaraan di mahkamah menunjukkan bahawa semua bukti terarah kepada Sun dan Xue, termasuk bagaimana mereka mengatur skim penipuan secara teliti.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam AS di Daerah Columbia, pihak berkuasa menyatakan bahawa hukuman penjara yang dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh adalah wajar memandangkan skala penipuan ini dan kerosakan kewangan yang disebabkan kepada syarikat multinasional seperti Apple.