Menurut laporan terkini oleh The Information, Apple dikatakan mengalami kerugian melebihi AS 1bilion setahun daripada perkhidmatan streamingnya, Apple TV+.
Menurut laporan The Information dan dikongsikan oleh sumber rapat dengan syarikat mendedahkan bahawa sejak dilancarkan pada 2019, Apple telah membelanjakan lebih AS5 bilion setahun untuk menghasilkan kandungan eksklusif.
Namun, tahun lalu, syarikat gergasi teknologi itu terpaksa memotong bajet produksi sebanyak AS$500 juta.

Setakat ini, Apple masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan laporan tersebut.
Apple TV+ Ketinggalan di Belakang Pesaing
Walaupun Apple TV+ menawarkan siri-siri popular seperti Ted Lasso, The Morning Show, Shrinking, dan Severance, ia masih jauh ketinggalan berbanding pesaing utama dalam industri streaming.
Berikut adalah perbandingan jumlah pelanggan mengikut data terkini:
- Netflix: 301.63 juta pelanggan
- Disney+: 124.6 juta pelanggan
- Warner Bros Discovery: 116.9 juta pelanggan
- Apple TV+: 40.4 juta pelanggan (anggaran oleh Visible Alpha)
Walaupun jumlah pelanggannya kecil, CEO Apple, Tim Cook, dalam laporan kewangan Januari lalu, menegaskan bahawa kandungan Apple TV+ telah menerima lebih daripada 2,500 pencalonan dan memenangi 538 anugerah.
Ini menunjukkan kualiti kandungan yang dihasilkan, namun masih belum cukup untuk menarik lebih ramai penonton.
Dalam persaingan sengit industri streaming, banyak syarikat kini menawarkan pakej langganan dengan harga lebih berpatutan untuk menarik minat pengguna.
Apple turut mengambil langkah ini dengan menjadi sebahagian daripada pakej bundling Comcast, yang menggabungkan Apple TV+, Peacock, dan Netflix.
Selain itu, Apple juga menawarkan pakej Apple One yang menggabungkan jenama mereka dengan perkhidmatan lain seperti iCloud, Apple Music, dan Apple Arcade.
Ini dilihat sebagai strategi untuk meningkatkan nilai tawaran mereka dalam pasaran yang semakin sesak.
Dengan kerugian yang berterusan dan persaingan yang semakin sengit, Apple perlu mencari strategi baharu untuk meningkatkan daya tarikan Apple TV+.