Apple membuka tirai acara tahunannya, It’s Glowtime pada kali ini dengan pengenalan jam Apple Watch baharu yang menampilkan rekaan baharu bersama ciri terkini yang lebih canggih.
Apple Watch Series 10
Dari segi rekaan, kini Apple Watch Series 10 hadir dengan saiz bingkai yang lebih besar berbanding sebelumnya sekaligus membolehkan pengguna menikmati paparan visual yang bagus serta mudah untuk menaip menerusinya.

Tidak hanya itu, ia hadir dengan pilihan berasaskan titanium serta lebih nipis bagi binaannya membuatkan ia lebih ringan dan tampil premium.
Selain berkaitan rekaan, model Apple Watch kali ini hadir sokongan pengecasan lebih pantas. Difahamkan anda boleh mengecas sehingga 80% dalam masa 30 minit sahaja.

Selain dikuasakan dengan cip Apple S10, Apple Watch series 10 turut hadir dengan ciri mengenal-pasti apnea tidur – gangguan tidur yang membawa kepada pelbagai masalah kesihatan lain.
Apple turut menawarkan speaker baharu yang bakal memudahkan anda menjawab panggilan, mendengar podcast dengan jelas selepas ini.

Selain kesihatan, jam tangan versi baharu ini juga turut membawakan sejumlah ciri kecergasan baharu, termasuk kebolehan mengetahui suhu air dan juga tahap kedalaman untuk aktiviti lasak.